Thursday, May 18, 2006

Prinsip Pencegahan Penyalahgunaan Dadah: Satu Perspektif

Pendahuluan

Menurut perangkaan terkini (2005) yang dikeluarkan sebagai asas perancangan pembangunan belia di Malaysia di dalam RMK-9, jumlah keseluruhan generasi muda yang berumur di antara 15 hingga 39 tahun ialah 11.10 juta orang atau 41.5% dari 26.75 juta rakyat Malaysia. Jumlah generasi muda ini dijangka meningkat sebanyak 5% kepada 11.65 juta orang menjelang tahun 2010. Peningkatan jumlah generasi ini akan memberi kesan kepada masa depan negara. Ianya tertakluk persedian generasi dalam mempertingkatkan kualiti mereka.

Penyalahgunaan dadah meningkat kepada tahap “epidemic” yang membimbangkan. Perangkaan keterlibatan belia dalam gejala dadah amat menggerunkan. Menurut Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan, terdapat 23,062 penagih dilaporkan pada sembilan bulan pertama 2004. Daripada jumlah ini, seramai 10,650 orang adalah penagih baru dan 12,412 orang adalah penagih berulang. Secara purata, seramai 1,331 orang penagih baru dan 1,552 orang penagih berulang dikesan bagi tempoh sebulan. Ini bermakna 44 penagih baru dan 52 penagih berulang dikesan setiap hari. Dan data terakhir sehingga 2005 ialah seramai 289,763 orang.

Telah banyak bentuk hukuman yang dikenakan kepada pengguna dan pengedar najis dadah. Malah hukuman mati pun masih belum menggerunkan untuk mengurangkan gejala penyalahgunaan dadah. Barangkali tidak keterlaluan jika menyatakan bahawa gejala ini adalah kesan sampingan yang banyak dipengaruhi dari proses pembangunan material. Berkembang pesat perbandaran, maka banyak kawasan-kawasan dan aktiviti yang menarik belia ke arah gejala sosial ini.

Penyalahgunaan dadah di Malaysia ialah perniagaan besar. Statistik polis menunjukkan penagih membelanjakan lebih RM1 bilion (S$450 juta) setahun untuk ketagihan mereka. Sehingga kini juta ringgit dan pelbagai sumber telah dimanafaatkan untuk menagani kemelut ini, namun kejayaan masih terus dimanafaatkan untuk menangani penyalahgunaan dadah perlu lebih komprehensif untuk memaksimakan kesan-kesan lain yang mungkin timbul.

Menurut, YAB Dato’ Seri Mohamad Khir Toyo[1], Presiden Majlis Belia Malaysia dalam memahami penglibatn dan terjebak belia dalam gejala penagihan dadah ini, ada beberapa perkara utama yang sering menjadi sebab kepada tabiat buruk tersebut. Pertama, kerana ingin mencuba. Perasaan ingin mencuba ini diikuti dengan ingin menjadi kelihatan kuat dan gagah di kalangan rakan-rakan mereka. Kedua, dipengaruhi rakan-rakan yang sudah terlibat dengan najis dadah. Orang seperti ini ingin menyesuaikan diri dalam kumpulan tersebut. Dengan mengisab dadah mereka dapat menyertai kumpulan tersebut.[2] Ketiga, permasalahan keluarga. Rumah tidak lagi menjadi tempat perlindungan dan kebahagian. Rumah yang tidak dipenuhi dengan kasih sayang. Untuk melepaskan rasa kecewa atau kerunsingan, mencuba dadah ini hanya untuk melepaskan kekusutan fikiran, akhirnya mereka terjebak dengan penagihan lalu mengundang kepada lebih banyak masalah. “Drug Abuse continues to emerge as a strategy among youth to cope with the problems of unemployment, neglect , violence and sexual abuse[3]. Keempat, diri sendiri yang tidak mepunyai daya kekuatan untuk menolak. “Dare to say NO (Berani berkata TIDAK) adalah slogan seharusnya menjadi pegangan para belia agar mampu menolak perkara-perkara yang negatif yang boleh merosakkan diri, keluarga dan masa depannya. Fenomena ini bukan sahaja berlaku kepada belia di negara, tetapi permasalahan yang sama turut dialami oleh belia di seluruh dunia.[4]

Tidak kurang juga para belia yang terlibat melihat di sudut mencari kebahagian, keseronokan bagi melemaskan kekusutan dan tension dalm kerjaya. Mereka cuba mencontohi masyarakat barat yang menggunakan dadah ini tetapi masih dalam keadaan yang stabil, mempunyai kerjaya serta mempunyai wang seperti digambarkan dalam televisyen. Tanpa menyedari bahawa semuanya itu hanyalah lukisan watak yang tidak berada dalam realiti yang sebenar. Keburukan mereka kebanyakannya tidak didedahkan secara berleluasa di mata dunia. Inilah cabaran yang sukar dimengerti oleh kebanyakan belia dalam mencari watak-watak untuk mengejar kehidupan yang di dunia ini. Ada tiga suasana dan perubahan dikalangan belia apabila berhadapan dengan penyalahgunaan dadah berdasar laporan dari Majlis Bangsa-Bangsa Bersatu,[5]

i. Populasi yang mudah dipengaruhi. (A Vulnerable population)

ii. Mudah mendapat bekalan dadah (Increased availability of drugs.)

iii. Tren budaya pengambilan dadah (Cultural trends and normalisation of drug abuse).

Ketiga-tiga perubahan yang berlaku ini disebabkan kekurangan budaya kekeluarga, jiran tetangga dan masyarakat yang dapat membimbing mereka. Apatah lagi dengan sindiket penjualan dadah yang kreatif sehingga para belia tidak sedar menggunakan dadah. Pada mulanya untuk bersukaria, bekerja kuat, belajar akhirnya ketagih dan menggunakan untuk merosakkan fikiran dan kelakuan. Dadah yang mula berkembang seperti estacy dan syabu, yang dikatakan banyak digunakan oleh belia secara suka-suka.

Pencegahan dan Pemulihan

Proses menangani penyalahgunaan dadah lazimnya mempunyai 2 teras iaitu pencegahan (preventive) dan pemulihan (rehabilitative). Proses pencegahan lebih bersifat proaktif dan menjangka pelbagai kemungkinan yang timbul dari rantaian penyalahgunaan dadah (supply chain of drug abuse) lalu melaksanakan pelbagai dasar dan program tertentu untuk menghalang berlakunya penyalahgunaan dadah.

Langkah-langkah permulaan pula perlu dilakukan hanya setelah gejala penyalahgunaan dadah dikesan. Sejumlah dana terpaksa dibelanjakan untuk membina infrastuktur pemulihan penyalahgunaan dadah seperti pusat serenti dan seumpamanya. Proses pemulihan ini secara realtifnya lebih mudah dikaji implikasinya (ex-post analysis) berbanding dengan proses pencegahan (ex anta analysis) namun proses pencegahan adalah lebih penting kerana magnitud proses pemulihan banyak bergantung kepada proses pencegahan.

Di dalam tradisi ilmu Islam (turath al-Islami), kita diperingatkan bahawa pencegahan lebih utama dari pemulihan “mencegah lebih utama dari mengubat”. Berdasarkan keutamaan (awwliyyat) ini, sewajarnya lebih banyak dana dan sumber perlu difokuskan kepada langkah-langkah pencegahan. Program-program pencegahan perlu lebih giat dilaksanakan. Implikasinya bukan cuma kepada program pemulihan tetapi juga menghalang timbulnya kesan-kesan lain seperti merebaknya jangkitan HIV/AIDS dan seumpamanya.

Ada beberapa prinsip pencegahan yang perlu diambilkira dalam menghadapi permasalahan ini;

i. Prinsip “Amar Maaruf Nahi mungkar[6]. Kita tidak boleh menyelesaikan isu ini dengan pencegahan sahaja. Konsep menggalakkan perkara kebaikan dan mencegah keburukan bukan sahaja berupaya menguatkan individu tersebut tetapi ia juga boleh menghalang suasana yang boleh mendekatkan mereka kepada gejala dadah.

ii. Prinsip “Mencegah lebih baik dari mengubati” (Prevention is better than cure). Sikap pro aktif dalam pencegahan ini lebih baik dari pemulihan. Ianya bukan sahaja dapat menyelamatkan masyarakat malah kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan. Oleh itu prinsip ini jelas berkesan dan dapat bertahan dalam jangka masa yang lama. Ini dapat kita lihat statistik penagih dadah yang berulang.

iii. Prinsip “Kasih sayang bukan Menghukum”. Kita meletakkan insan itu ditahap yang tinggi darjatnya dibanding semua makhluk kejadian Tuhan. Ianya perlu dilayan sebagai insan yang punyai maruah dan harga diri. Sudah tentu pendekatan yang kita gunakan adalah untuk membawa mereka ke jalan yang benar dan menyediakan mereka peluang-peluang untuk mereka berjaya dalam kehidupan. Kita tidak perlu menghukum mereka disebabkan kelalaian dan kejahilan mereka sehingga terjerumus dalam penanggihan dadah tetapi menyatuni dengan sebaik-sebaiknya atas dasar kemanusian. Namun begitu, kesedaran mereka harus ditingkatkan, dan mereka juga perlu menunjukkan perubahan dan berusaha membuang tabiat yang buruk kepada diri dan masyarakat.

iv. Strategi yang berbagai dan bersesuaian dengan gaya kehidupan belia sekarang. Tidak mungkin satu strategi dapat menyelesaikan masalah yang ada kerana sifat manusia yang berbagai. Malah sebab diantara penagihpun berbeza. Oleh itu, strategi digunakan perlu berupaya untuk meningkat kekuatan dalaman, kemahiran serta pengetahuan yang baik bagi membolehkan mereka dapat mengawal diri daripada terjebak dalam najis dadah.

v. Belia bukan masalah. Belia mesti dijadikan rakan untuk mengawal merebaknya penagihan najis dadah ini. Peluang harus diberi untuk mereka turut membuat keputusan dalam program yang melibat para belia. Dengan kaedah partisipasi membuat keputusan dan dasar akan mendapat kerjasama yang mudah dari mereka. Perlibatan mereka harus bermula dari awal bangu persekolahan kerana memahaman perlu dihayati bak kata pepatah “melentur buluh biar dari rebungnya”

vi. Pencegahan jangan hanya memfokuskan kepada dadah tetapi keseluruhan dalam kehidupan seperti gaya hidup sihat, penjagaan kesihatan, sikap bantu sesama rakan, mengelak diri dari alkohol dan rokok. Pencegahan ini mestilah dilakukan secara konsisten bukan sekadar dipinggiran atau diarahkan oleh pihak atasan.

Di antara langkah yang boleh dipertimbangkan untuk proses pencegahan ialah membenarkan perkongsian data dan maklumat mengenai kemelut penyalahgunaan dadah dengan kelompok NGO, pihak masjid, sekolah atau IPT dan sebagainya. Perkongsian data dan maklumat ini dapat membangkitkan kesedaran tentang kemampuan dan implikasi penyalahgunaan dadah kepada masyarakat. Kelompok ini juga perlu disertakan dalam kempen pengcegahan penyalahgunaan dadah sepertimana yang sedang dilakukan ketika ini. Majlis Belia Malaysia (MBM) sedang dan telah mengatur program benci dadah sebagai tanggungjawab untuk memberi kesedaran tentang bahaya dadah serta melibatkan belia dalam persatuan atau aktiviti yang sihat. Dan kelompok yang paling berkesan penyertaannya ialah orang telah terlibat dengan dadah yang telah pulih sepenuhnya. Di dalam proses pencegahan, data dan maklumat adalah faktor terpenting yang bertanggungjawab secara langsung kepada kejayaannya.

Pertumbuhan pengedaran najis dadah ini seharusnya di di teliti dengan serius. Mereka ini hendaklah dibendung dengan segera agar tidak merebak dan berupaya mempengaruhi orang lain. Proses menghalang ini perlu diikut sertakan dengan proses penguatkuasaan secara telus dan terbuka. Proses bagaimana penyaluran dan pembekalan dadah perlu dikemukakan kepada masyarakat agar semuanya dapat membantu dalam proses pengedaran ini. Maka penguatkuasaan mesti berada dalam tahap yang lebih profesional, lebih cekap dan mempunyai integriti serta kesedaran yang tinggi. Keseriusan penguatkuasaan ini membuat mereka yang terlibat tidak akan mempunyai peluang langsung berurusan dalam negara ini.

Proses pencegahan ini perlu dikembangkan dari peringkat kosepsual kepada pemerinciannya. Masyarakat perlu digalakkan untuk menyumbang pemikiran mereka di dalam sumbangsaran mengenai langkah-langkah pencegahan. Pihak agensi kerajaan mestilah melihat badan-badan belia atau NGO sebagai rakan dalam melaksanakan tanggungjawab ini. Melibatkan mereka dalam setiap perancangan akan memudahkan usaha ini mencapai matlamat yang telah digariskan. Mereka mempunyai tenaga manakala kementerian dan agensi-agensi mempunyai dana yang mampu digembelingkan secara bersama dan sistematik dalam usaha membenteras gejala dadah. Bersepaduan usaha inilah digalakkan oleh YAB Perdana Menteri yang inginkan semua pihak mesti bekerjasama dalam membebaskan Malaysia dari permasalahan najis dadah.

Kesimpulan

Kekuatiran penagihan najis dadah ini telahpun disuarakan oleh Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia. Beliau menganggarkan hampir satu dalam setiap 100 orang ialah penagih dadah. Sejumlah 289,763 dari rakyat Malaysia, ialah penagih dadah Beliau juga menyeru agar strategi yang lebih berkesan dicari bagi melahirkan negara yang bebas dadah pada tahun 2015. Ini adalah kerana kunci kepada usaha memerangi penagihan dadah terletak pada pencegahan, strategi pencegahan di peringkat kebangsaan diperlukan bagi melibatkan rumah, masyarakat dan tempat kerja.

Negara kita mampu bebas dari gejala dadah ini sekiranya perubahan berlaku dalam setiap individu, keluarga, jiran, masyarakat, undang-undang, penguatkuasaan serta kekuatan kuasa politik. YAB Dato’ Seri Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa ”kita memerlukan tindakan bersepadu serta terarah oleh semua agensi kerajaan, NGO dan masyarakat kerana gejala dadah berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk kelemahan institusi keluarga, tahap pendidikan dan kelemahan pegangan agama.”[7]

Sehubungan dengan itu, pesanan YAB Dato Seri Mohamad Khir Toyo[8], menyatakan semua pihak termasuk ibu bapa perlu memainkan peranan untuk membasmi masalah dadah di kalangan masyarakat terutamanya dalam mengurangkan jumlah pengguna atau penagih dadah. Manakala pihak polis perlu menguatkuasakan undang-undang dengan tegas untuk membanteras kegiatan mengedar dadah dalam memastikan musuh nombor satu negara itu dapat dibanteras sepenuhnya menjelang 2015.

Dalam masa yang sama beliau juga mencadangkan agar kurikulum pusat serenti di seluruh negara dikaji semula memandangkan jumlah penagih berulang semakin bertambah dari setahun ke setahun. Perubahan perlu dilakukan bagi setiap peringkat dalam kerajaan dan agensinya sebagai penyediaan modal insan yang dapat memacu negara ke arah kemajuan yang kita ingin capai pada 2020.

Akhir sekali, kita diingati oleh Allah s.w.t agar tidak berada dalam golongan orang-orang yang melakukan kerosakan di muka bumi. Seperti dalam surah Al Qasas, ayat 77 bermaksud : " Dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah Swt tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan ". Semoga peringatan ini akan dapat menghindar diri kita dalam kancah yang merugikan diri sendiri, agama, bangsa, masyarakat dan negara.


“Subtance abuse behaviours usually change very slowly. Thus prevention programs need to be sustained over a long period of time to be effective”.

Azizuddin Ahmad

[1] …..Dalam ucapan beliau di Program Belia Benci Dadah Peringkat Negeri Perlis anjuran MBM dan MGBNP di Perlis, Dewan KUKUP pada 2 April 2006.

[2] Sila lihat statistik Profil Penagih dadah mengikut sebab mula mengguna dadah, sumber ADK, www.pemadam.org.my

[3] Youth and Drugs: A Global View, report of the secretariat, Economic and Social Council, United Nation (UN), January, 11, 1999

[4] Reconneting Youth: An Indicated Prevention Program, Dr. Leona L Eggert, Paper presented in the National Conference on Drug Abuse Prevention research:Presentations, Papers and Recommendation, USA.

[5] Youth and Drugs: A Global View, report of the secretariat, Economic and Social Council, United Nation (UN), January, 11, 1999

[6] “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maa’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah…… (surah Al Imran: 110)

[7]Harian Metro http:/www.hmetro.com.my/Current_News/HM/Sunday/Minda/20041121102206 / Article/indexs_html

[8] Ucapan beliau di Perasmian Program Belia Benci Dadah Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan, Keramat, Kuala Lumpur, anjuran MBM dan MGBWP, 12 Februari 2006.

No comments: