Sunday, May 14, 2006

Belia Bina Bangsa, Belia Wawasan, Belia Malaysia: Cabaran dan Pendekatan Generasi Baru Belia

“Orang yang berguru dengan orang yang meniru terlalu jauh bezanya”
Munshi Abdullah

Mukaddimah

Sejarah negara mesti difahami dan dihayati oleh generasi muda. Negara kita telah dijajah Barat; kemudian ditawan Jepun; dan seterusnya berhadapan pula dengan berbagai masalah seperti kepengganasan komunis dan rusuhan kaum sehingga memaksa pimpinan negara memperuntukkan masa yang tidak sedikit bagi menstabilkan negara dan mengajak rakyat menjalin perpaduan dan persefahaman. Semua ini tidak berlaku secara kebetulan. Sekian banyak sumber telah diusahakan untuk memastikan kestabilan negara.

Kita bersyukur kerana dibekali dengan sejarah kemerdekaan tanpa pertumpahan darah. Kita telah memulakan pemerintahan negara ini secara tolak ansur, mencari titik persefahaman, mencari identiti sendiri serta berpegang teguh dengan kebudayaan dan agama. Semuanya bersatu mengisi kemerdekaan.

Setelah kita mulai mengurus negara sendiri, kita akur bahawa banyak lagi yang perlu dipelajari dan diceburi. Kita mulai mencipta dan membina. Kita berusaha memerdekakan pemikiran dan menghilangkan sikap ketergantungan kepada orang barat atau orang luar.

Tun Mahathir telah meletakkan Wawasan 2020 sebagai mercu tanda menuju ke arah negara maju ~ maju dengan acuan sendiri; bukan dibentuk pihak luar. Wawasan tersebut membolehkan rakyat bersedia dengan semangat baru merealisasikan wawasan tersebut. Namun ada ketikanya kita harus mempelajari melalui pengalaman negara-negara luar. Tetapi itu tidaklah menghilang kekuatan diri sendiri.

YAB Perdana Menteri pernah membangkitkan tiga fokus penting yang perlu dititikberatkan oleh generasi muda belia sebagai persediaan masa depan, iaitu: (i) kepimpinan, (ii) kemahiran dan (iii) keusahawanan. Ketiga-tiga fokus ini memerlukan ilmu sebagai asas utama pembinaannya. Inilah agenda utama yang perlu digarap dan dilaksanakan dengan penuh tekun oleh generasi muda yang berwawasan.

Profail Generasi Muda di Malaysia

Menurut perangkaan terkini (2006) yang dikeluarkan sebagai asas perancangan pembangunan belia di Malaysia di dalam RMK-9, jumlah keseluruhan generasi muda yang berumur di antara 15 hingga 39 tahun ialah 11.10 juta orang atau 41.5% dari 26.75 juta rakyat Malaysia. Jumlah generasi muda ini dijangka meningkat sebanyak 5% kepada 11.65 juta orang menjelang tahun 2010.

Dari segi komposisi rakyat Malaysia, jumlah generasi muda peringkat umur ini akan berkurang dari 41.5% kepada 40.2% dari keseluruhan rakyat Malaysia. Menjelang tahun 2010, golongan dewasa yang berumur 40 tahun ke atas meningkat dari 25.9% kepada 28.1% dari keseluruhan rakyat Malaysia.

Perangkaan RMK-9 juga menyatakan bahawa sejumlah 6.67 juta orang atau 60% dari 11.10 juta generasi muda belia mempunyai pekerjaan. Ini merupakan peningkatan sebanyak 8.2% dari paras 6.16 juta orang generasi muda di bawah 40 tahun pada tahun 2000. Sekiranya peratusan belia yang mempunyai pekerjaan ini kekal pada tahap 60% dari jumlah keseluruhan, jumlah belia yang mempunyai pekerjaan akan meningkat sebanyak 4.8% atau 320,000 orang menjelang 2010 menjadikan jumlah belia yang mempunyai pekerjaan mencapai 6.99 juta orang.

Fakta dan angka ini membawa makna bahawa jumlah rakyat Malaysia di dalam peringkat dewasa akan semakin bertambah kerana peningkatan jangka hayat penduduk. Fenomena ini sememangnya konsisten dan sejajar dengan tahap pembangunan sesebuah negara yang meningkat maju.

Fakta dan angka ini juga membayangkan bahawa generasi muda belia akan menjadi teras utama pembangunan negara (development powerhouses) kerana peringkat umur ini merupakan peringkat umur paling bertenaga dan produktif di dalam jangka hayat seseorang. Maka, peranan generasi muda akan menjadi bertambah penting di masa-masa yang akan datang. Generasi muda perlu dimatangkan lebih awal untuk memikul beban tanggungjawab kepimpinan masyarakat.

Belia Berwawasan

Ciri-ciri belia berwawasan:

Mempunyai suatu matlamat yang mampu melakukan perubahan yang lebih baik daripada masa sekarang; mempunyai matlamat yang jelas dapat memberi rangsangan kepada mereka untuk bersungguh-sungguh bagi memperolehi kejayaan. Pemikirannya tertumpu kepada usaha-usaha yang boleh mendatangkan kesan yang baik seterusnya.

Mempunyai personaliti yang unggul (towering personality)

[2]; mengambil prinsip “peribadi ulung, budi disanjung” membawa erti mempunyai peribadi unggul akan memberi kesan positif kepada masyarakat. Ia memberi makna yang mendalam kepada mereka yang mempunyai kemahiran, kecekapan, pengalaman, bijak, berani, proaktif dan berkerjaya. Dengan membina kekuatan watak ini, mereka akan menjadi “role model” (contoh tauladan) dalam melakukan perubahan diri dan masyarakat.

Minda kelas pertama (first class mind)[3]. Belia yang mempunyai minda kelas pertama selalunya akan memberikan yang terbaik kepada diri, keluarga, agama, bangsa, mayarakat dan negaranya. Sekiranya mereka bekerja dalam sektor perkhidmatan, mereka akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Belia diajak memaksimakan potensi akal berfikir demi kebaikan negara, bangsa dan agama.

Pemikiran hadhari (pemikiran bertamaddun). Pemikiran hadhari membawa maksud pemikiran bertamadun yang akan melahirkan tingkahlaku yang juga bertamadun. Belia kita harus lebih peka tentang kesihatan mental, kebersihan diri dan sekelilingnya, bersopan santun, toleransi, hormat menghormati, saling membantu tanpa mengira bangsa dan agama.

Generasi berilmu. Strategi pembangunan modal insan (human capital) yang ditekankan Kerajaan mesti dibekalkan dengan ilmu pengetahuan. Hanya dengan ilmu, pembangunan modal insan dapat dijamin keberkekalannya (sustainability).

Mempunyai daya juang yang tinggi. Belia yang mampu bersaing dan sedia berjuang memerlukan disiplin yang tinggi dan tahap kesabaran yang bukan kepalang. Cabaran masa hadapan hanya mampu dihadapi oleh mereka yang bukan sahaja berani tetapi juga berdisiplin tinggi dalam mematuhi pengarahan dan melakarkan strategi menanganinya tersendiri.

Patriotik. Mencintai tanahair adalah satu prinsip warganegara. Ia berbeza dari maksud ‘assabiyah sempit yang tahunya hanya menuruti kehendak bangsa sehingga melakukan kezaliman terhadap bangsa lain. Semangat kecintaan negara ini merupakan satu sikap positif yang sanggup mempertahankan kedaulatan negara dan menghormati asas-asas rukun bernegara.

Cabaran

Malaysia bukanlah sebuah negara besar dari sudut pertukaran ekonomi, daya sumber serta ketenteraan jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Kita tidak mampu memberi kesan kepada ketidakadilan berlaku di dalam dunia. Namun ada faktor-faktor yang membolehkan kita bersaing dengan negara-negara maju di dunia ini. Oleh demikian ada empat (4) cabaran perlu diatasi dan perhalusi oleh belia bagi memastikan kita dihormati oleh masyarakat dunia.

Antaranya ialah:

Cabaran memastikan ilmu menjadi budaya kepada golongan belia. Kekuatan ilmu bukan sahaja diperolehi dari institusi tetapi boleh didapati juga dari kursus dan latihan profesional bagi meningkatkan kemahiran. Kekuatan ilmu akan memberi kebebasan membuat pilihan yang baik dan tepat. Sudah menjadi tanggungjawab semua pihak terutama kerajaan dan ibubapa bagi mendidik anak dalam mengejar ilmu pengetahuan. Baru-baru ini akhbar melaporkan satu kajian bahawa 37% pelajar tidak dapat meneruskan ke tingkatan lima dan 80% meninggalkan bangku sekolah untuk mencari pekerjaan[4]. Keciciran para belia yang disebabkan berbagai faktor ini boleh mengganggu kestabilan sistem sosial dalam negara di masa-masa yang akan datang.

Cabaran memantapkan integriti diri serta akhlak atau nilai. Dengan mempunyai nilai yang tinggi, bersifat universal, dan bebas jiwa dari perkara yang menjejaskan harga diri, penyayang, berpegang teguh dengan prinsip agama yang mampu memandu belia ke arah yang lebih cemerlang. Belia yang mempunyai integriti teguh dan nilai yang baik boleh membuat pilihan yang baik bagi masa depan. Mereka bukan mampu membezakan yang mana baik dan menolak yang mendatangkan keburukan mereka, tetapi juga dapat memilih mana yang lebih baik dari dua kebaikan atau menolak makna yang lebih buruk dari dua keburukan.

Cabaran menjadikan belia berkualiti tinggi ~ berkualiti dari segi perkhidmatan, kerja, sikap yang bersungguh-sungguh dan bernilai tinggi; bebas dari pengaruh yang negatif seperti penagihan najis dadah, seks bebas, lepak, merosakkan harta awam serta jenayah yang lain.

Cabaran mengekalkan jati diri belia. Era “dunia tanpa sempadan” dan asakan globalisasi menyebabkan pengaruh-pengaruh yang tidak baik menular dengan pantas ke pemikiran dan jiwa belia serta merubah sikap dan tindakan mereka. Mereka harus berusaha mengekalkan jati diri sebagai insan yang beragama.

Pendekatan

Faktor yang perlu dipertimbangkan dalam pendekatan:

o Mengenali dan memahami golongan belia sekarang. Belia sekarang berubah mengikut peredaran zaman. Mereka didedahkan dengan berbagai perkara yang mengikat cara hidup mereka. Mereka dikenali sebagai pengguna teknologi seperti internet. Mereka akan biasa dengan kehidupan yang kompetitif, bermaklumat serta bergantung dengan mesin.

o Budaya yang perlu ditangani sekarang seperti hedonisme, materialisme, individualisme, sekularisme yang mana akan mengisi kehidupan bermasyarakat yang berpegang teguh kepada nilai, beragama dan jati diri. Oleh itu, belia berusaha menanam tujuh (7) sikap[5] untuk berjaya:

· Mengenali rakan-rakan yang baik, yang membantu kepada kejayaan.
· Komitmen kepada perancangan.
· Jujur dan bertanggungjawab.
· Komited kepada ilmu. Sentiasa melatih diri untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.
· Fokus kepada peluang.
· Sentiasa membaiki diri. (self improvement)
· Gaya hidup sihat. Hidup yang seimbang dari segi rohani, akal dan jasmani.

Pemupukan budaya ini akan menghindarkan diri dari terlibat dalam gejala dadah yang semakin meruncing. Usaha yang dilakukan oleh berbagai pihak akan sia-sia sekiranya belia itu lemah jati dirinya, tidak langsung punyai ketahanan diri mengelakkan bahaya dadah ini. Seumpamanya kita memandu kereta, kita berupaya mengelak perkara-perkara yang tidak diingini berlaku sekiranya kita dapat mengikuti peraturan dan kesabaran dalam diri kita.

o Dialog dan toleransi. “Apabila kebebasan bersuara digunakan untuk menjatuhkan nilai hidup dan maruah orang lain, asas kebebasan bersuara itu sendiri rosak,'' demikian kata Kobia, paderi Gereja Methodist dari Kenya, dalam ucapan pada perhimpunan WCC di Porto Alegre, selatan Brazil. Dialog merupakan suatu budaya baru yang harus dibiasakan dalam belia. Ianya mematangkan kita mengenai sesuatu isu dan dapat membincangkannya secara hikmah. Ianya penting untuk menjaga keharmonian dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama seperti kita. Kecintaan kita terhadap bumi Malaysia yang bertuah ini hanya terbukti setelah setiap orang dari kita umat beragama ini berbuat sesuatu bagi memastikan kerukunan hidup beragama dapat kita suburkan.[6]

Masyarakat belia yang ingin kita bina harus memenuhi acuan kita sendiri sebagaimana hasrat Wawasan 2020 yang inginkan Malaysia maju dengan acuannya sendiri. Ini tidak membawa maksud menafikan kebebasan; tetapi belia yang harus bersifat glokal[7] ~ berdiri teguh, gagah, bersama bangsa-bangsa maju yang lain tetapi pada masa yang sama, mempunyai prinsip dan jati diri berakar umbi dengan budaya bangsa dan agama itu sendiri. Dengan kekuatan ini kita mampu menempuh gelombang cabaran pada masa akan datang.

Wawasan ini penting kerana ia membuatkan kita bersemangat untuk menambah nilai (add value) kepada kerjaya kita, mencabar keyakinan serta kebolehan kita, membantu kita menggunakan potensi diri, meletakkan keutamaan hidup yang bersesuaian dan memudahkan kita merancang dan bertindak menuju ke wawasan tersebut.

Demi menjayakan wawasan belia ini, semua golongan perlu digabungkan sama ada dari pihak kerajaan, NGO, pimpinan masyarakat dan pihak swasta dalam peranan masing-masing. Berkongsi visi dan misi akan memantapkan kestabilan dan perpaduan di kalangan berbagai kaum, agama dan budaya dalam negara yang tercinta ini.

Sekiranya kita gagal merancang membangunkan belia hari ini, maka sebenarnya kita sedang merancang satu keruntuhan bangsa di masa akan datang” YAB Dato ’Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak semasa berucap sewaktu merasmikan Konvensyen Belia Kebangsaan 2004

Azizuddin Ahmad
Exco Majlis Belia Malaysia (MBM)

[2] Ucapan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Keenam (MAPPA VI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 20 Januari 2005.
[3] Ucapan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, semasa membentangkan usul Mengenai Rancangan Malaysia ke Sembilan, 2006 – 2010, Di Dewan Rakyat, Pada 31 Mac 2006
[4] The Dropout Kids, Chok Suat Ling, The Star, Thursday, April 27, 2006.
[5] Darrel Zahorsky, 7 Habits of Business Success: Your Guide to Small Business Information, The New York Times, 2006
[6] Toleransi Melalui Dialog, Dr.Ghazali Basri, , Mingguan Malaysia, hal. 8, 19 Februari 2006.
[7] Ucapan Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO 2005 pada 19 Julai 2005, oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri, PWTC, Kuala Lumpur.

No comments: