Wednesday, June 27, 2007

BELIA PENERAJU KEMERDEKAAN GEMILANG

KAMI BELIA MALAYSIA
BERIKRAR DAN BERILTIZAM
MENGGERAKKAN
BELIA YANG CEMERLANG
DALAM USAHAMELAHIRKAN
BANGSA YANG GEMILANG
MEMPERJUANGKAN KEBENARAN
DAN KEADILAN
DEMI KEMAKMURAN NEGARA
BERPANDUKAN IMAN, ILMU DAN BUDAYA.

BAHAWASANYA KAMI DENGAN
PENUH KESEDARAN DAN KEINSAFAN
BERJANJI SEPENUH HATI
DENGAN JIWA YANG MERDEKA
MEMIKUL AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB
MEMPERTAHANKAN MARUAH BANGSA
MENGEKALKAN KEMERDEKAAN NEGARA
MENGHAYATI SEMANGAT BUMI WARISAN BERTUAH
PENERAJU KE ARAH MALAYSIA YANG UNGGUL

KAMI
BERTEKAD BERSATU MENGIKAT JANJI
BERSEDIA, IKHLAS, SETIA DAN JUJUR
DALAM MENGUKUHKAN
KEDAULATAN NEGARA YANG TERCINTA

Nukilan: azizuddin Ahmad..Naib Presiden MBM


itulah ikrar belia sempena Hari Belia Negara, 15 Mei yang lalu. Semoga ianya kekal dalam semangat 50 tahun kemerdekaan negara tercinta.

Monday, June 25, 2007

Pertemuan dengan tokoh Ulama Syria, Said Ramadhan Al Buthi

22 November 2006, Presiden MBM, Sdr Shamsul Anuar Hj Nasarah, Naib Presiden Sdr Azizuddin Ahmad dan Exco, Ku Ahmad Rosidi Mat Esa telah menziarahi tokoh ulama’ Syria di kediaman beliau di Damascus, Syria. Beliau menyatakan rasa gembira kerana dapat bertemu dengan pemimpin belia dari Malaysia. Beliau merasakan belia di Malaysia seharusnya bersyukur dengan gaya kepimpinan di negara kita, cara kita berkongsi kuasa dalam menjamin kesejahteraan, keamanan serta kestabilan negara. Dengan keamanan kita dapat membangunkan negara. Belia seharusnya jangan terlalu ideal dalam melihat perlaksanaan sesuatu perkara. Rakyat seharusnya diberi kefahaman yang sejelas-jelasnya mengenai sesuatu perkara sebelum ianya dapat dilaksanakan. Ini membolehkan keadilan dapat dijalankan dengan sebaik mungkin. Pertemuan dirumah beliau dan soal jawab berkaitan dengan isu belia dan keadaan di Malaysia amat bermakna buat kami. Beliau melihat media main peranan penting pada masa akan datang.

SOLIDARITI UMAT DAN PERANAN MAHASISWA[1]

Muqaddimah

Dalam era ke 21 ini, banyak perubahan berlaku. Tahun 2000 ke 2006 menyaksikan permulaan hubungan manusia yang melebar, luas seluas lautan. Dengan adanya sistem penerbangan di awal abad ke 20, telah meluaskan perjalanan dan hubungan sesama manusia tetapi dalam abad ke 21, menyaksikan perhubungan manusia tanpa batasan ini berlaku dengan lebih dan amat pantas. Perhubungan baru ini tidak memerlukan kos yang tinggi dan masa yang lama, hanya dengan titipan jari telah mampu melakukan interaksi yang aktif diantara manusia.

Perubahan ini membawa signifikasi kepada perkembangan dunia. Tidak ada satu negara, suatu perkara, suatu peristiwa tersisih atau terlepas daripada pengetahuan masyarakat sekeliling dan dunia. Perkembangan ini memerlukan banyak perkara yang ideal akan menjadi suatu realiti seperti kebebasan, ketelusan, demokrasi, kerjasama lebih banyak diantara negara, perdagangan bebas tanpa sekatan, dunia siber, kebanjiran maklumat dan imigrasi. Perubahan yang berlaku menuntut kekuatan diri, masyarakat,kerajaan dan negara tersebut mempertahankan jatidiri serta kedaulatan negara demi survival kemerdekaannya.

Keadaan Umat di dunia sekarang.



Perubahan yang berlaku di seluruh dunia memberi kesan kepada perubahan sikap, pemikiran dan tindakan seseorang dan sesebuah negara. Umat dapat dilihat dan dikenali dengan bahasa, budaya dan agamanya (sistem kepercayaan). Dengan berkembangnya globalisasi, ketiga-tiga aspek ini menjadi cabaran untuk mengekalkannya sebagai jati diri mereka.

Negara tidak lagi dapat memerintah tanpa sokongan daripada masyarakat sivil. Masyarakat yang semakin celik juga mampu membuka ruang komunikasi yang luas dalam dan luar negara berkaitan dengan isu-isu semasa yang mampu memberi kesan kepada sistem dan gaya pemerintahan sekarang.

Umat Islam sekarang semacam berada di kandang orang salah. Setiap langkah dan tindakan mesti diberi justifikasi kepada dunia. Sekiranya tidak sesuai dengan kehendak dunia barat, maka kita bertanggungjawab jikalau ada kesan dari tindakan tersebut. Yang malangnya, umat Islam dilabelkan dengan berbagai-bagai sinonim seperti pengganas, ketinggalan zaman, zalim, dan lain-lain. Tindakan ini sebenarnya usaha yang serius dari Barat yang diketuai oleh US, bagi mengalih pandangan dunia terhadap kerosakan yang telah diakukan mereka kepada penduduk dunia. Ini termasuk peningkatan senjata Nuklear, penyelidikan senjata biologi dan bahan kimia lain, sistem perdagangan yang tidak adil melalui IMF, kepanasan dunia yang semakin meningkat (global warming) hasil tindakan berleluasa oleh kuasa besar, dan pencerobohan ke negara-negara secara haram.


Keadaan umat di dunia Islam
Awal abad ke 21, negara Barat (US dan sekutunya ) telah mengistiharkan perang dengan kelompok Islam yang dikatakan sebagai pengganas. Semenjak persepsi barat berubah terhadap Islam – mereka lebih agresif, campurtangan, berani melakukan pencerobohan dalam negara Islam itu sendiri seperti berlaku di Iraq dan Afghanistan.

Banyak peristiwa di dunia Islam yang menjadi kisah duka kita. Di Palestin, Afghanistan, Iraq, Sudan, Acheh, Selatan Filipina, Selatan Thailand, Xi Jiang, China, Chenzhen dan Sri Lanka. Kisah duka ini telah berlarutan semacam tidak ada penyelesaiannya. Semuanya berlaku secara dirancang dan kelemahan umat Islam itu sendiri. Mudahnya dipermainkan oleh kuasa besar.

Negara Islam dan umatnya juga kebanyakan terdiri dikalangan negara-negara miskin yang tidak kukuh ekonomi, pemerintahan, ketenteraan, pendidikan akhirya kita terpaksa tunduk dengan kuasa-kuasa besar atas kelemahan yang ada pada kita.

Malah Organisasi besar iaitu OIC yang pernah suatu ketika dahulu amat berpengaruh dalam menukarkan dasar barat, akhirnya dilemahkan dengan perbezaan kepimpinan dan perubahan kuasa.
-perbezaan kelompok berdasarkan mazab yang fanatik,
-pendidikan yang rendah dan taksub,
-tidak menguasai ekonomi serta kebergantungan ekonomi dengan orang lain.

Usaha yang dilakukan oleh kelompok yang anti Islam sentiasa mengintai-intai kelemahan umat Islam. Isu-isu sering dibangkitkan dan terus dibangkitkan seperti demokrasi, hak Asasi Manusia, Poligami, Hukum Hudud dan keadilan dalam undang-undang Islam, minoriti, wanita dan pakaian, serta dominasi kaum lelaki terhadap wanita.[2] Reza Aslan, menulis dalam bukunya, No God But God: The Origins, evolution, and Future of Islam bagaimana beliau diberitahu oleh suami isteri dari Barat yang sanggup datang ke negara Arab, berpakaian dan berkelakuan seperti masyarakat tersebut semata-mata untuk menyebarkan agama Kristian. Begitulah seriusnya undercover yang dilakukan oleh misionari Kristian terhadap umat Islam yang semakin meninggalkan agamanya.

Prioriti umat
Solidariti (Penyatuan)
Sejarah Islam banyak mencatitkan solidariti (perpaduan) dikalangan umat Islam contoh persahabatan diantara sahabat. Islam mengajar umat nya dalam solat contohnya, erti mengenai ikatan persaudaraan melalui solat. Solat mengajar ketaatan, displin, kesungguhan, keinsafan, berjemaah, menyusun saf yang lurus, mendengar, membaca, menghayati ayat Al Quran secara konsisten dan banyak lagi. Semuanya ini adalah latihan kita untuk memahami umat Islam adalah satu. Walau apa perbezaan yang ada, namun kita adalah satu, se a’qidah. Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah penolong kepada sebahagian yang lain sebagaimana diungkapkan dalam Al Quran, surah At Taubah 9:71 yang bermaksud “ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) perbuatan makruf dan mencegah kemungkaran”.



Ekonomi
Abdul Rahman Al Auf, seorang sahabat Nabi yang terkenal, pernah menolak permintaan daripada seorang sahabat dari golongan Ansar Madinah selepas hijrah daripada Mekah untuk mengongsikan hartanya. Yang diminta ialah tunjukkan kepada dimana pasar. Beliau terus memulakan perniagaannya sehingga dapat menguasai pasaran yang dulunya dikuasai oleh Yahudi. Ini menunjukkan bahawa keperluan kepakaran dan sifat keusahwanan mesti diberikan keutamaan. Kerana dengan adanya ekonomi yang kuat baik dari dikalangan individu, kelompok dan negara menjadikan kita sentiasa merdeka serta berupaya memberi pembangunan, keamanan dan keadilan kepada rakyat. Kekayaan negara adalah merupakan amanah kepada pemerintah untuk memastikan ianya dapat menjana kewangan negara, membangunkan kemajuan serta mengurangkan kemiskinan.

Kualiti dan professionalism
Modal insan merupakan agenda penting dalam sesebuah negara. Kalau modal insan ini tidak dibina akalnya, tidak sempurnakan akhlaknya, tidak diberi kemahiran serta kekuatan spiritualnya, modal itu akan menjadi lemah seterusnya lemah kekuatan sesuatu negara. Banyak negara yang menggunakan perbelanjaan negara dengan pembangunan infrastuktur dan senjata. Walaupun ianya dapat mengukuhkan negara namun dalam masa jangkapanjang ianya melemahkan sebahagian besar potensi manusia dalam sesebuah negara. Negara tersebut akhirnya menjadi lemah akhirnya memerlukan bantuan orang lain untuk membangunkan negara. Tumpuan yang seharusnya diberkan oleh pemerintah ialah kepada pendidikan dan bukannya ketenteraan. Pendidikan dapat memberi negara masa depan. Pendidikan dapat meningkatkan mutu insan yang berada disesebuah negara. Insan itulah yang akan memacu pembangunan negara dan kekuatan. Dengan menerapkan prinsip dan nilai, budaya yang cemerlang dalam Islam, modal insan akan memberi pulangan yang cukup berharga kepada pembangunan masa depan negara.




Umat Islam dan Melayu di Malaysia
Perbezaan yang sedia ada dalam politik turut menyumbang kepada bibit-bibit perpecahan dikalangan umat Islam dan melayu dalam. Perbezaan dalam segi pandangan namun ada ke tahap membimbangkan. Menghilang kematangan dalam memberi pandangan dan tidak mengerti mengimbangi perbezaan. Kita seharusnya melihat bagaimana saranan Dr. Yusuf Al Qaradhawi dalam bukunya “Memahami keutamaan berasaskan Al Quran dan As Sunnah” bahwa umat Islam sekarang perlu memahami keutamaan yang boleh kita jadikan sebagai asas untuk kita mencari kata sepakat dan bertasamuh.

· Ketinggalan dari sudut ekonomi, kepakaran.
· Masih leka dengan hiburan dan kehidupan material.
· Menggunakan kebebasan dalam memenuhi nafsu.

Peranan Mahasiswa
· Persiapan kualiti yang berkualiti untuk cabaran masa depan. Tidak dinafikan bahawa kualiti menentukan kesempurnaan sesuatu perkara. Tidak ada gunanya dalam zaman serba moden ini kita hanya menjadi tempelan. Kita harus membuang stigma yang menyatakan bahawa umat Islam melayu tidak profesional, tidak berkualiti, kerja sambil lewa, tiada penyelidikan, kualiti subsidi, tiada kemahiran dan tidak mampu berdaya saing.
· Mengasah kepimpinan, Kemahiran dan Kesusahawan. Dalam sejarah pelajar-pelajar Mesir adalah merupakan pelopor kebangkitan Islam di Malaysia dan juga menyedarkan umat ketika itu menentang penjajahan. Semangat ingin membebaskan jiwa hamba kepada jiwa merdeka.
· Melihat keutamaan mengukuhkan umat. Kita harus meletakkan keutamaan dalam melihat perkara-perkara yang berlaku dalam umat melayu Islam di negara kita. Kita mesti mengutamakan persamaan yang boleh menyatukan kita. Mencari perbezaan memang mudah, dan mudah lagi mencari keburukan dan kesalahan. Namun mencari titik-titik persamaan yang menjadikan kita umat yang kuat adalah lebih mulia. Satu kajian yang dilakukan oeh Rand Corporation[3] yang beroperasi Amerika Syarikat telah membahagikan umat Islam ini dengan berbagai kelompok . pertama kelompok sekularis, fundamentalis, traditionalis dan modernis. Mereka akan menggunakan seluruh kuasa dan kewangan yang ada kan memastikan golongan modernis ini lebih diberikan perhatian dengan menyediakan peluang dan ruang (platform) untuk mereka menyuarakan dan menyebarkan pandangan mereka di dalam dunia Islam. Dan bagi sekularis, mereka akan membantu mengikut keperluan yang bersesuaian. Mereka perlu disediakan institusi dan programs. Membantu tradisionalis dengan menyokong usaha-usaha dalaman yang boleh mengibangi fundamentalis. Inilah usaha-usaha yang dibuat oleh pihak barat, yang sedang dan akan berlaku. Sekiranya kita tidak memikirkan nasib untung umat, dan kita tidak beruapaya menahan perpecahan yang berlaku, jangan kita tangisi sekiranya kita nanti dumpamakan oleh hadis Rasulullah s.a,w seperti buih di lautan, banyak tetapi tiada makna.[4]

Banyak lagi peranan sebagai mahasiswa/I dalam persiapan diri namun kita tidsak harus hanyut dengan ketinggian ilmu sehingga lupa rakyat yang memerlukan pembelaan. Kemungkaran yang berlaku kerana kelalaian, kelemahan dan pertelingkahan yang berlaku dalam umat itu sendiri. Inilah punca hilangnya ketenteraman dan keamanan dalam masyrakat. Peranan kita sebagai saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran satu tugas cukup besar dan memerlukan hikmah dan kesabaran yang berterusan.[5]

Ibn ‘Atha’illah telah berkata dalam hikmahnya “ banyak sekali manusia yang diberikan usia umur yang panjang tetapi sumbangan yang diberikannya sangat sedikit. Dan banyak sekali orang yang mempunyai sumbangan yang sangat banyak. Sesiapa yang umurnya diberi berkah oleh Allah s.w.t maka dalam jangka masa pendek dia akan mendapatkan berbagai-bagai kurniaan daripada Nya, yang sangat sulit untuk diungkapkan.

Kita hidup dalam satu masyarakat yang majmuk. Keupayaan dan kebijakan kita menerima berbagai kaum dalam negara kita adalah satu kemahiran dan persefahaman yang bukan suatu yang mudah. Kita mesti mampu mengimbangi kelemahan kita dengan melakukan pembaikan yang berterusan. Kita mempunyai komitmen dan sentiasa membuat persediaan untuk mengisi kepimpinan yang akan datang dan membawa umat ke arah yang lebih cemerlang.

Azizuddin Ahmad
Naib Presiden
Majlis Belia Malaysia





[1] [1] Kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Ketamadunan dan Cabaran Mahasiswa, di Kaherah, Mesir, 24 November 2006, oleh Azizuddin Ahmad, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).
[2] Civil Demoratic Islam: Partners, Resources and Strategis, Cheryl Bernard, RAND Corporation, 2003
[3] Civil Demoratic Islam: Partners, Resources and Strategis, Cheryl Bernard, RAND Corporation, 2003
[4] Hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Dawud daripada Tsauban maksudnya “ Pada suatu hari kelak, umat memusuhi mu dari segala penjuru, seperti anai-anai yang memakan kayu” Mereka bertanya:”Apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada masa itu wahai Rasulullah ?” Rasulullah s.a.w menjawab:” jumlah kamu pada waktu itu banyak akan tetapi kamu hanya bagaikan buih yang dibawa arus air, dan Allah telah menghilangkan rasa takut daripada dada para musuhmu, dan mereka memasukkan wahan di dadamu. “ Mereka bertanya kembali:” Apakah wahan itu wahai Rasulullah?” Rasulullah s.a.w menjawab “Cintakan dunia dan takut akan mati”
[5] Fiqh Kenegaraan, Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi, ABIM, Blue T Sdn Bhd, 1999.

Lawatan Ke Kedutaan Malaysia di Kaherah


Sempena Lawatan presiden ke Mesir, beliau sempat membuat kunjungan hormat kepada Yang Berbahagia Dato Zainal Abidin , Duta Malaysia di Mesir di Dewan Malaysia di Kaherah. MBM telah diberi penerangan berkaitan kedudakan pelajar di Mesir. Lebih 6000 pelajar Malaysia dimerata tempat di Mesir. Mereka memerlukan pendedahan serta latihan kepimpinan, keusahawan, dan kemahiran bagi membolehkan mereka lebih kompetitatif apabila mereka kembali ke Malaysia. Oleh itu beliau berharap, MBM dapat program berkala untuk pelajar-pelajar di sini dan beliau sedia membantu MBM menjalankan aktiviti-aktivitinya di Mesir. Beliau gembira usaha ini dapat menarik minta pelajar-pelajar dan semoga banyak lagi program seumpama ini dapat diusahakan oleh MBM pada masa akan datang.

KEPENTINGAN KESTABILAN NEGARA ASAS KEPADA PEMBANGUNAN TAMADDUN UMAT[1]

Muqaddimah

Suasana aman lebih banyak membina sesuatu tamadun kerana usaha dan tenaga dapat difokuskan secara lebih berkesan berbanding dengan zaman huru-hara di mana tumpuan akan tersasar kerana keutamaan perlu diberikan kepada persoalan menyelesaikan kemelut serta punca huru-hara. Faktor utama untuk memastikan kestabilan dan keamanan ialah faktor manusia. Pandangan umum mungkin berpendirian bahawa sesebuah negara yang bangsanya “homogeneous” (sebangsa) akan lebih mudah mencapai kesepakatan berbanding dengan negara yang berbilang bangsa, kaum, agama dan kecenderungan. Namun tidaklah mustahil sekiranya sebuah negara bangsa dapat dibina dari pelbagai rumpun bangsa asalkan kesepakatan terhadap perkara-perkara besar tentang “nation-building” dapat dilakukan. Cuma yang menjadi isu di sini ialah pembentukan sesebuah negara bangsa tidak boleh dipaksa-paksa ke atas mana-mana bangsa, kaum dan agama. Mereka perlu diyakinkan terlebih dahulu.

Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit. Pembentukan satu negara bangsa boleh menjadi pra-syarat kepada kemajuan kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa, sebarang bentuk kerjasama untuk maju tidak akan terjalin. Bagi mengisi konsep ini, istilah seperti perpaduan negara,kesetiaan kepada negara, keharmonian dan toleransi perlulah difahami dan dihayati.

Kestabilan negara bergantung kepada perpaduan rakyatnya. Kita telah meletakkan landasan tertentu untuk mengukuhkan perpaduan. Satu bahasa, satu kebudayaan dan satu sistem pelajaran. Untuk menjamin perpaduan tulen, ianya mestilah dihayati dan dilaksanakan oleh semua rakyat dengan jujur dan tegas.[2]

Faktor Kestabilan

Pertama, pemerintahan yang bertanggungjawab dan mempunyai misi khusus untuk kesejahteraan rakyat yang dipimpin. Sehubungan ini, Misi Nasional sebagaimana yang dinyatakan di dalam dokumen Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) merupakan pendirian tegas pemerintah. Perdana Menteri menyatakan 5 Misi Nasional seperti berikut:
[1] Meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi.
[2] Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk ‘minda kelas pertama’.
[3] Menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif.
[4] Meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup.
[5] Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan

Kesemua Misi Nasional ini sememangnya ada kesejajarannya dengan Matlamat Pembangunan Alaf (Millennium Development Goals, MDG) yang diperjuangkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di pelbagai pelusuk dunia termasuklah di Malaysia.[3]

Pengukuhan ekonomi cukup penting bagi membolehkan mengagihan kekayaan negara dapat dirasai oleh semua pihak. Dengan kekuatan ekonomi menjadikan individu dan negara bebas dari belengu hutang dan dapat memajukan negara tersebut. Akhirnyan kualiti hidup dapat dibina secara teratur dan beransur-ansur. Kita telah lihat banyak negara yang miskin dan ketiadaan kekuatan pemerintahan menjadi boneka kepada barat dan sentiasa berlaku pergaduhan diantara kaum dan kelompok di dalam negara itu sendiri. Dalam masa yang sama, misi ini tidak terlepas dari melihat sumbangan pembangunan dan kestabilan adalah manusia itu sendiri. Dengan itu, modal insan yang cuba diketengah oleh negara adalah sejajar dengan arus perubahan yang pesat dengan cabaran. Dengan kekuatan modal insan ini sekiranya kita bina dengan citra agama dan bangsa, ianya mampu membangunkan negara yang kuat mengikut cara kita sendiri.

Faktor penstabil kedua ialah sikap bertolak ansur. Dalam Islam, sikap tolak ansur (tasamuh) diguna pakai untuk mendukung hak-hak kemanusiaan. Tanpa sikap ini, individu-individu (baik yang beragama Islam atau tidak) akan terasa tertindas, terpinggir (marginalized) dan tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Menurut pengamatan sejarah, semangat tolak ansur merupakan tunjang utama yang membolehkan Islam berkembang pesat di Andalusia dan seterusnya menyumbang kepada kegemilangan peradaban dunia Barat khususnya bangsa Eropah.

Ini berbeza sekali dengan layanan yang diberikan oleh Raja Ferdinand dan Ratu Isabella kepada orang Islam selepas kejatuhan kerajaan Islam di “Sepanyol pada tahun 1492. Hakikat ini diakui oleh seorang pendakwah Kristian yang mengkaji penyebaran agama Islam iaitu T.W. Arnold di mana beliau menyatakan:


“Kita tidak pernah mendengar semasa sepanjang pemerintah Islam di Sepanyol, sebarang usaha secara tersusun dilakukan untuk memaksa golongan bukan Islam supaya memeluk agama itu; malah tidak wujud sebarang penindasan secara sistematik untuk menghapuskan agama Kristian. Jika para khalifah mengambil salah satu pendekatan ini, mungkin mereka telah menghapuskan sama sekali orang-orang Kristian sebagaimana Ferdinand dan Isabella menghalau keluar Islam daripada bumi Sepanyol; atau sebagaimana Louis ke-14 lakukan terhadap golongan Protestan di Perancis.”




Barangkali tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa pendekatan politik yang membawa kepada kestabilan sosial di Malaysia adalah mirip pendekatan yang diambil oleh kerajaan Islam di Sepanyol sewaktu zaman kegemilangan Islam. Di Malaysia, orang-orang bukan Islam menikmati tahap tolak ansur yang tinggi daripada masyarakat Islam; sama seperti yang dinikmati oleh orang Kristian dan Yahudi sepanjang 800 tahun pemerintahan Islam di Sepanyol”.[4]

Tidak dinafikan jika dikatakan bahawa ciri tasamuh tersebut merupakan unsur terpenting yang membawa kepada kemakmuran yang dinikmatidi Malaysia pada hari ini. Dalam suasana kepelbagaian agama, kaum dan budaya serta keadaan sosio-politik dan ekonomi yang agak ketara – di mana kuasa politik berada di tangan orang Melayu yang kebanyakannya beragama Islam manakala kuasa ekonomi di pegang oleh bangsa Cina - Malaysia mampu memperlihatkan satu model kepada masyarakat dunia bahawa keharmonian dan kemakmuran negara sebenarnya bergantung kepada unsur tolak ansur, kejujuran dan kegigihan rakyat.

Keupayaan memimpin dan menangani kepelbagaian (managing diversity) merupakan aset yang sangat berharga dalam memastikan kelangsungan kestabilan masyarakat dan negara. Jangankan sebuah negara, sebuah persatuan, organisasi atau jemaah yang mempunyai Kecenderungan yang berbagai juga sukar dikawal dan diurus. Kerana itulah yang perlu dianjurkan ialah kesepakatan dan sikap berlapang dada; bukan sikap mengenakan keseragaman (imposing uniformity) di tengah-tengah kepelbagaian.

Mengurus kepelbagaian memerlukan ketrampilan menentukan keutamaan (priority-setting) ~ mana yang perlu dipercepatkan dan mana yang perlu ditangguhkan ~ dan rasa sensitiviti terhadap perasaan dan tingkah seseorang agar tiada sesiapa yang merasa tersinggung sama ada sengaja atau tidak disengajakan.

Diri Sendiri ~ Hambatan Paling Utama

Barangkali jika direnung secara lebih serius, kita dapat menjana Sejumlah faktor penghambat kepada kestabilan, yang mampu mencetuskan huru-hara. Namun kita berpendirian bahawa faktor paling asasi ialah diri kita sendiri. Faktor-faktor lain seperti keupayaan tamadun asing yang cuba memporak-perandakan negara kita, ancaman aliran pemikiran asing yang ada kalanya terlalu liberal atau terlalu mengongkong (regimented), rempuhan arus globalisasi yang tidak terkawal dan seumpamanya merupakan sejumlah faktor-faktor yang “valid” untuk diutarakan. Tetapi faktor-faktor ini sudah terlalu banyak diperdebatkan di pelbagai forum, pentas dan laman web.

Ada ketikanya, kita perlu kembali kepada asas dan merenung kembali sesuatu itu dari paksi prinsip pertama (first principle). Kerana itulah ada yang mengatakan bahawa musuh yang paling utama ialah apa yang ada dalam diri kita. Ini jugalah yang dididik dan diasuh oleh para leluhur silam seperti Imam al-Ghazali (m. 1111).

Saya pernah diperingatkan di dalam sebuah kuliah suatu ketika dahulu dengan peringatan Imam al-Ghazali yang lebih kurang berbunyi seperti berikut: “binalah negara di dalam diri kita terlebih dahulu”. Yang dapat saya fahami maksudnya ialah kita perlu mengawal sikap negatif (mazmumah) dan kemudiannya membina kekuatan diri terlebih dahulu sebelum kita memancarkan pembangunan tamadun di dalam sesebuah masyarakat dan negara.

Konsep as-Din perlu diterjemahkan di dalam diri sendiri dan penghayatan luarannya akan terpancar ke peringkat masyarakat dan negara. Proses penghayatan ini boleh berlaku secara selari dan bertahap. Pembangunan tamadun juga perlu dilihat sebagai satu proses yang berterusan yang mungkin ada pasang surutnya bergantung kepada tahap penghayatan setiap diri peribadi dalam masyarakat Islam. Ini juga secara tidak langsung menjamin kepemimpinan umat dalam proses pembangunan tamadun. Hanya bangsa yang berkualiti yang akan mewarisi kepimpinan dunia ini.

Jatuh bangun sesebuah tamaddun juga sangat bergantung kepada kualiti sesebuah bangsa yang menunjangi tamadun tersebut. Inilah yang melatarbelakangi pentingnya kita menangani kestabilan dan memperjuangkan pembangunan di peringkat diri peribadi. Setiap umat terdiri dari rumpunan diri peribadi Muslim; maka anjuran penghayatan ad-Din yang mulia ini turut terserah kepada kemampuan dan kesanggupan masing-masing. Tidak perlu kita menyalahi orang lain di atas sikap mereka mencetuskan huru-hara dan ketidakstabilan di dalam negara yang menjejaskan pembangunan tamadun umat, meskipun ini mempunyai banyak kewajarannya tersendiri; maknanya memang ada hujah untuk menyalahkan mereka.

Tetapi adalah lebih bijak jika kita mengurus pembangunan di dalam diri kita ~ sikap ini lebih berdaya tahan (sustainable) dan lebih bersifat jangka panjang. Kerana itulah proses pembangunan tamadun umat adalah juga proses islah ~ proses pemilihan dan pembaikan!


Azizuddin Ahmad
Naib Presiden MBM

[1] Kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Ketamadunan dan Cabaran Mahasiswa, di Kaherah, Mesir, 24 November 2006, oleh Shamsul Anuar Hj Nasarah, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).
[2] Kesedaran, Keadilan, Kestabilan dan Perpaduan, Tun Hussein Onn, Di Perhimpunan UMNO ke-32.
[3] MDG mempunyai lapan (8) sasaran iaitu (i) to eradicate extreme poverty and hunger; (ii) to achieve universal primary education; (iii) to promote gender equality and empower women; (iv) to reduce child mortality; (v) to improve maternal health; (vi) to combat HIV/AIDS, malaria and other diseases; (vii) to ensure environmental sustainability; and (viii) to develop a global partnership for development.
[4] Tolak Ansur Dalam Islam, Muhammad Hisyam Bin Mohamad, Fellow Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial IKIM, Berita Harian, April, 24, 2006

Bangsa Malaysia dalam Persepektif Baru dan Cabarannya

Tajuk ini adalah rentetan daripada idea daripada YAB TPM. Bagaimana kita nak mendefinisikan kembali “Bangsa Malaysia” dari perspektif kita (belia), dengan susur galur kaum yang pelbagai dalam pembinaan negara yang lebih dinamik dan maju. Jika boleh siri diskusi ini diharap dapat dijadikan sumber rujukan (“term of reference” ) daripada golongan belia kepada kepimpinan negara dalam menentukan dasar. Perkara ini penting dan perlu diutarakan kepada belia, kepada masyarakat, supaya mereka dapat membincangkan dalam perspektif yang lebih terbuka dan dinamik. Isu-isu ini mungkin kritikal kerana kita sudah menjadi terlalu sensitif diantara satu sama lain. Setiap isu sentiasa dikaitkan dengan kaum secara emosional. Hingga menyebabkan kita tak lagi kongsi visi dan misi menjadi bangsa yang bersatu dalam negara yang maju. Akhirnyanya, kita mudah diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa luar. Siri ini merupakan lontaran idea dan diskusi. Dan ianya dapat dibincangkan dengan semangat kebeliaan, matang serta profesional.

Dr Lee Yok Fee (UTAR) melakarkan sejarah Malaysia yang melalui migrasi yang berbagai kaum. Dua isi utama dalam bangsa malaysia – bersatu padu dan semangat nasionalisme. Dua isi ini penting utk kekalkan aturan sosial, kestabilan masyarakat. Menurut beliau, pembangunan malaysia yang belum seimbang, terdapat masalah cultural lag (material maju, budaya belum), pembangunan sains sosial dan kemanusiaan semakin dipinggirkan (90% peruntukan research utk sains dan teknologi, 10% utk sains sosial). Antara kesannya bila pentingkan pembangunan material sahaja ialah individualisme dan hedonisme. Rukun negara harus dijadikan teras. Formula oneness++. Kita perlu ada satu identiti. Semua rakyat malaysia harus guna bahasa Melayu, tapi masih boleh guna bahasa bangsa masing-masing. Kepelbagaian harus dikembangkan. Rukun negara harus dibangkitkan semula sebagai teras membangkit semangat nasionalisme.

Dr. Sarjit S. Gill (UPM) Bangsa Malaysia harus sifatnya inklusif melibatkan semua bangsa, termasuk yang minoriti. Hubungan majoriti-minoriti harus dipererat. Kepelbagaian harus dijadikan kekuatan, bukannya satu bangsa monopoli semua. Ada ‘unity in diversity’. Yang merisaukan kita ialah versi akademik dan politik sentiasa berbeza. Bangsa malaysia perlu ada identiti nasional seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, rukun negara (yang semakin dilupakan), Lagu negaraku (lagu negaraku harus dihayati. Bila ada lagu, perlu kepada bendera itu sekali. Mesej dalam lagu negaraku x dibincangkan dengan lebih jelas khususnya di sekolah2), Jalur gemilang (bendera adalah sesuatu yang perlu diletakkan di atas. Bukan dihiaskan di kenderaan semasa sambutan kemerdekaan. Bukan dihias, dikotori dsbnya. UN – bendera adalah sesuatu yang perlu dihormati.), kepelbagaian perayaan harus dihormati. Kerajaan bagus sebagai buat rumah terbuka, tetapi setakat makan dan minum sahaja. Tetapi patut diperluaskan lagi spt buat pameran, diskusi dsbnya. Kepelbagaian perayaan harus diluaskan, kongsi dengan pelancong2. PLKN. Program yang amat penting dalam usaha utk tinggikan nasionalisme. Gagasan bangsa malaysia masih tak jelas. Orang politik dan para akademik mempunyai pandangan berbeza. Malah, 9 cabaran wawasan 2020, masyarakat punya penghayatan masih kurang jelas. 8 daripda 9 cabaran itu menekankan tentang hubungan kemanusiaan dan semangat ethno-centric yang tinggi, prasangka. Namun, usaha memperkasakan bangsa Malaysia semua pihak mesti menjalankan peranan masing-masing sehingga kita dapat mengisi minda masyarakat.

Prof. Madya Shaharuddin Badaruddin (UiTM), turut berkongsi pendapat mengenai Ciri Bangsa Malaysia Baru seperti , rakyat yang berjiwa merdeka dan tinggi semangat patriotismanya, rakyat yang berusaha untuk keluar dari captive mentality (minda hamba), tinggi semangat patriotisma melalui, rasa sayang dan cinta kepada tanahairnya, rasa bangga dengan negaranya, kesediaan mempertahankan negaranya daripada dicerobohi oleh musoh luaran dan menjalankan tanggungjawabnya demi negara. Beliau yakin perlu adanya Keyakinan Budaya (cultural confidence) di kalangan bangsa-bangsa Timur dan perlu dipupuk menerusi strategi pengakaran nilai-nilai budaya pada agama dan tradisi sendiri demi memelihara keutuhan jati diri dan keunggulan martabat bangsa.

Pemerkasaan budaya menjadi dimensi pembangunan yang terabai. Pemimpin bangsa lazimnya gagal sebagai pembina budaya (culture builder). Pengabaiannya dapat dilihat melalui,
a. Pembangunan ekonomi tanpa agenda pemerkasaan budaya
b. Penyediaan sarana ekonomi tanpa pembinaan mentaliti ekonomi
c. Mengambil sains dan teknologi Barat tanpa menyerasi, mengintegrasi dan mengakarkannya ke dalam budaya dan tradisi keilmuan peribumi.[1]

Azizuddin Ahmad, Naib Presiden MBM menyatakan Imej MBM yang terbina semenjak puluhan tahun menggambarkan dirinya sebagai wajah dan citra Malaysia. Bagaimana ahli berkomunikasi antara satu dengan lain adalah satu contoh dimana rakyat harus berhubungan antara satu dengan lain. MBM seharusnya menjadikan diri mereka sebagai culture builder dan juga trend setter dalam masyarakat. Identiti bagaimana hendak dipaparkan kedalam masyarakat negara dan dunia mesti diputuskan terlebih dahulu.

Monday, October 30, 2006

The Meaning Of Love

The Meaning of Love offers and explains a definition of love in a way that is interesting, intense, clear, logical, and meaningful. All relationships --love, infatuation, friendship, dating, marriage, family, community, and professional-- involve three key elements:

  • Emotions --how we feel about each other
  • Ethics --how good or bad we are for each other
  • Joys --how much we satisfy or dissatisfy each other

How about you?

Friday, October 27, 2006

Kritikan mesti dihadapi sebagai cabaran, Pak Lah

Saya mungkin tidak merasai semua pertukaran kepimpinan di Malaysia. Tapi sekurang-kurang saya tidak terlepas dari menyaksikan dan merasai pergolakkan kepimpinan dalam negara. Samada diantara parti pemerintah dan parti lawan (inter-parti), ataupun di dalam parti itu sendiri (intra-parti).

Isu yang dibangkit turut berbagai. Ada berunsur peribadi, ada unsur pengagihan harta, ada unsur fitnah, ada unsur keyakinan kepimpinan. Namun semuanya tertakluk “talks and facts of the day”.

Semua rumors selalunya menjadi angin yang berlalu. Ia cepat datang dan ia cepat juga pergi. Yang menjadi gosip perdana, apabila pimpinan utama mula against each other. Saya teringat semasa Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam menentang Tun Mahathir, PAS bawaan Ust Hadi menentang UMNO, semangat 46 menentang Kepimpianan Tun Mahathir, malah Tunku Abdul Rahman turut menentang Tun Mahathir, dan yang paling gentir apabila Anwar Ibrahim menentang Tun Mahathir, namun saya melihat semuanya tidak berubah. Fraction (perpecahan) ada tapi tidak membawa perubahan. Sejarah membuktikan sikap umat rantau ini. Kerana apa ?

Pimpinan sudah biasanya dengan kritikan. Rakyat sudah biasa dengan kritikan. Kritikan sebenarnya menguntungkan rakyat. Rakyat tidak perlu mengubah kepimpinan, kerana kepimpinan yang ada cukup pramatik. Senang melakukan perubahan dalaman untuk kepentingan yang lebih besar iaitu untuk menguasai kepimpinan negara. Semua masalah dapat diselesaikan dengan memberi imbuhan yang sewajarnya dengan jasa yang telah dicurahkan.

Kritikan perlu dianggap sebagai cabaran. Cabaran untuk kepimpinan melakukan perubahan demi kepentingan rakyat. Perubahan ini penting sebagai check and balance kepada keputusan yang dibuat oleh pemerintah. U cannot win all. U need to prove U can do better. It takes time. U just need more wisdom to handle the current situation.

Mungkin saya konservatif, mungkin saya tidak objektif, mungkin saya orang yang mudah mengalah. Tetapi saya melihat lebih jauh, negara mesti kita pelihara kedaulatannya, rakyat mesti bebas dan mesti tunduk dengan budaya dan identiti sendiri, agama mesti dipelihara, keharmonian dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, kestabilan dan keamana mesti dijaga, kepimpinan mesti diperbaiki kualiti dan akhlaknya, itu yang sedang berlaku dan akan berlaku. Dan itulah realiti. Dan mengapa harus saya berfikir selain dari ini semua ?

‘Aidil Fitri: Hari Kebesaran Umat Islam

Sudah menjadi resam umat rantau ini, menyambut Hari Raya Idil Fitri suatu kegembiraan. Hari kemenangan bagi mereka yang telah menunaikan tanggungjawab ibadah puasa. Hari dikongsikan untuk semua umat manusia terutama umat Islam di seluruh dunia. Walaupun berbagai bentuk sambutan tetapi itulah naluri manusia yang dijelmakan dari perasaan yang gembira. Sambutan kemenangan ini bukan sahaja diberi erti dengan semangat keagamaan tetapi juga turut menjemput kreativiti manusia untuk merayakannya.

Hari raya disambut dengan gembira bagi semua manusia, yang miskin, yang kaya, yang tua, yang muda, lelaki dan perempuan, patah lagi kanak-kanak. Ianya dirayakan dengan berbagai cara mengikut kemampuan masing-masing. Namun begitu, hari raya ini juga membangkitkan keinsafan melihat yang menderita, yang tidak merasakan keamanan dan kestabilan. Tanpanya, semua tidak ada maknanya.

Yang penting, Hari Idil Fitri, meletakkan kita umat yang satu, sentiasa membantu antara satu sama lain dengan rasa keinsafan dan tangggungjawab, menjelma sifat kemurahan dan dermawan. Ianya juga boleh dijadikan ikatan untuk mengeratkan semula hubungan diantara insan yang bersengketa. Itulah yang dianjurkan oleh agama. Semoga kita diberi kekuatan oleh Allah swt agar kita dapat disatu-satukan hati-hati kita semua.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf zahir Bathin kepada rakan-rakan seperjuangan!

Thursday, October 05, 2006

Peranan NGO dalam masyarakat beragama.

“In the eyes of history, religious toleration is the highest evidence of culture in a people. It was not until the Western broke away from their religious law that they became more tolerant, and it was when the Muslims fell away from their religious law that they decline in tolerance and other evidences of the highest culture. Before the coming of Islam, tolerance had never been preached as an essential part of religion”
Muhmamad Marmaduke Pickthall
[1]

Muqaddimah
Sebuah negara yang berbilang bangsa sudah pasti terikat dengan pegangan agama yang berlaianan. Begitulah keadaan di Malaysia yang mempunyai kependudukan yang pelbagai agama dan bangsa. Bangsa juga adalah terdiri daripada rumpun Asia yang mempunyai nilai dan budaya hampir sama diantara satu sama lain, yang pasti tidak dipengaruhi oleh budaya dan nilai Barat. Disebabkan nilai dan budaya yang indah ini, menyebabkan faktor agama menjadi suatu tarikan dalam kehidupan mereka.

Jika dibanding dengan kebanyakan pergolakkan berlaku di negara luar, negara ini mempunyai rekod cemerlang dalam kestabilan sosial terutama dalam isu agama. Ini mungkin disebabkan kefahaman dan kesediaan bertolak ansur oleh semua pihak bagi memastikan kemerdekaan dicapai dari tangan penjajah.

Namun kita juga tidak terlepas dari perselisihan faham dalam isu agama disebabkan sikap fanatik, perkauman dan politik. Kita dikejutkan dengan beberapa kes berlaku seperti perebutan kawasan ibadat seperti berlaku di Pulau Pinang. Keadaan ini mungkin akan berlaku bila-bila masa pada masa yang datang sekiranya sikap penganut agama tidak dapat mengawal emosi dan berfikiran rational. Dan tidak ada sesiapa yang akan menjamin perkara tersebut akan berlaku lagi.

NGO harus bekerja keras bagi menampilkan berbezaan berlaku dalam sudut agama, politik, kaum dan keadilan yang perlu dikurangkan. Kefahaman, hormat menghormati dan sifat tolenrasi yang tinggi akan memudahkan maslah diselesaikan demi perpaduan di dalam negara ini. Islam menghalusi sifat tolenrasi ini dalam kehidupan bermasyarakat seperti diungkap dalam tulisan Dr.Muddathir Abdel Rahman, Dakwah and Inter Religious Tolenrance, ISTAC[2] at NGO atau Non Government Organisation adalah badan-badan sukarela yang ditubuhkan oleh sekumpulan rakyat yang mempunyai objektif tersendiri. NGO mempunyai kategorinya sendiri seperti Kanak-Kanak, Komunikasi, Pengguna, Pembangunan Ekonomi dan Sosial, Pendidikan, Alam sekitar, Hak Asasi Manusia, Kependudukan, Agama dan Budaya, Kebajikan, Wanita, Belia dan lain-lain. Namun secara kasar, NGO juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu yang menjadikan agama sebagai dasar dan tidak menjadikan agama dasar pertubuhan organisasinya.

Kertas ini akan cuba membincangkan mengenai NGO yang menjadikan agama sebagai dasar pertubuhan, kes studi, peranan NGO, keberkesanannya serta harapan dan cabaran-cabarannya dalam pengalaman Pertubuhan Islam di Malaysia.

Non Government Organisation (NGO)
Everyone, including the Special Rapporteur, concedes that the NGOs have a new place in this whole order. The governments themselves can't do the job, especially in human rights and particularly in religious issues. Because the interested parties are usually NGO bodies, such as religious groups. So this is a very important development in deepening cooperation between governments and non-governmental groups."
David Little, a senior fellow at the United States Institute of Peace

Oslo Conference on Freedom of Religion or Belief juga telah mengiktiraf beberapa dasar utama dalam mempromosikan etika agama sebagai suatu yang penting dalam bermasyarakat beragama.

NGO yang berlandaskan agama mempunyai ciri-ciri yang tertentu seperti;
- Ditulis secara jelas mengenai agama didalam perlembagaan organisasi.
- Subjek agama menjadi teras dalam pendidikan ahlinya.
- Membicarakan isu-isu agama kepada masyarakat umum.
- Menjalankan kerja-kerja penyebarannya.

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa NGO digerakkan oleh individu-individu secara sukarela. Mereka bekerja dengan harapan untuk mendapatkan kepuasan dari idealism atau filosophy yang mereka gariskan dalam organisasi mereka. Mereka bekerja sehingga peringkat akar umbi dalam masyarakat. Dan keupayaan NGO ini menyelesaikan masalah mereka yang memerlukan memang diakui

Peranan NGO bertambah besar pada masa hadapan. Ini digambarkan oleh sesetengah intelektual yang melihat kekuatan NGO dalam sebagai sesebuah negara. Malah ada mencadangkan bahawa nama NGO ditukar kepada Civil Society Organisation (CSO)”[3] bagi mengiktiraf kerja-kerja NGO dalam membangunkan masyarakat. Kebanyakan NGO di Malaysia telah menyedari betapa pentingnya peranan agama dalam pembentukan masyarakat melalui pendidikan.[4]

Peranan
1. Mempromosikan aktiviti agama. Program-program pembinaan individu, keluarga, masyarakat dan negara dalam sudut pengertian suruhan agama menjadi suatu keperluan. Program ini dibuka kepada setiap kelompok yang mempunyai kaedah dan kefahaman yang tersendiri.
2. Keterbukaan unutk mencari persamaan dalam agama mengenai isu universal. Usaha seperti interfaith forum, forum bersama dengan NGO beragama selain daripada Islam menunjukkan bahawa kita sentiasa beruasaha mencari titik persamaan yang boleh kita persetujui bagi mencapai masyarakat yang kita inginkan. Ini juga membawa maksud bahawa kita tidak perlu extrim dalam sesuatu isu yang bukan persoalan aqidah yang bleh mencetuskan ketidakadilan dan keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini.
3. Mengawasi dan menegakkan keluhuran moral atau “moral police”. Semua agama bersetuju menentang keruntuhan moral. Semua agama juga turut memainkan peranan dalam usaha untuk membaiki keadaan ini. Dan sekiranya sesuatu berlaku dalam masyarakat, NGO Islam dan bukan Islam akan berganding bahu untuk mengatasi masalah tersebut, walaupun cara dan kaedah yang berbeza tetapi keburukan itu berlaku kepada semua bangsa dan agama.
4. Agama sebagai satu cara hidup. Menyedarkan masyarakat betapa erlunya agama dalam kehidupan. Berpaksikan agama, persoalan moral dan tatacara hidup berharmoni mudah diatur dalam masyarakat.
5. Independent force – non political view on certain issue. NGO juga turut memainkan peranan sebagai suatu kuasa rakyat yang tidak mempunyai kepentingan politik atau apa-apa selain daripada menyakinkan masyarakat tentang isu-isu tertentu. Pandangan ini dihormati dan dirasai oleh rakyat. Oleh rakyat mudah merasa selesa dengan turut membantu menyokong tindakan daripada NGO bagi mengutarakan isu-isu tersebut kepada pihak yang berkenaan.
6. Membuka minda masyarakat bahawa agama boleh dibincangkan isu eksklusif. NGO sentiasa menjalankan aktiviti-aktivitinya sehingga masyarakat bersedia membuka minda terhadap persoalan semasa berkaitan agama dan budaya. Keberanian mengajak umat berdialog akan menjadikan budaya yang sihat dalam masyarakat majmuk.
7. Melahirkan tokoh-tokoh yang wibawa untuk masyarakat dirujuk. Dengan kehadiran tokoh-tokoh dalam NGO ini akan dijadikan contoh tauladan serta rujukan kepada masyarakat. Tokoh-tokoh ini tidak mempunyai kepentingan selain daripada mencurahkan ilmu dan kebaikan kepada masyarakat.

Keberkesanan.
1. Kesedaran merata dikalangan rakyat yang memahami erti agama dalam kehidupan. Dalam perlembagaan Malaysia termaktub tentang agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. Maka dengan peruntukkan ini, pihak pemerintah mengadakan peraturan dan program yang bersesuaian kepada masyarakat. Ini turut diikuti oleh kebanyakan agama lain dengan mengunakan saluran NGO. NGO berorientasikan agama menggunakan ruang-ruang ini untuk menerangkan agama dengan lebih giat lagi. Dan menyedari bahawa dengan adanya kesedaran agama yang baik amat berguna dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Kerana ABIM dan NGO lain tidak mempunyai kepentingan politik, pemahaman agama itu mudah diterima, difahami dan diamalkan.
2. Sikap terbuka – bersedia bertanya / berdialog untuk menghilangkan kekeliruan tentang sesuatu isu. Masyarakat Malaysia sekarang, pada pengamatan kita, sudah mula berani menyuarakan pandangan mereka kepada sesuatu isu. Mereka memerlukan jawapan yang membolehkan mereka faham apa yang hendak dan akan kita lakukan dalam masyarakat negara ini. Samada ianya disalurkan di media elektronik, media cetak atau dalam program dialog. Sikap ini dipuji kerana ianya akan mematangkan masyarakat tersebut dengan agama dan budaya diantara satu sama lain. Ini suatu kejayaan bagi NGO yang sentiasa membuka ruang perbincangan dan dialog melalui program-program bagi memahamkan masyarakat berbagia kaum terutamanya dalam isu berkaitan agama dan budaya.

Cabaran dan Harapan.
Cabaran;
1. Kesediaan /keterbukaan minda. Persoalan agama akan terus menjadi isu dalam masyarakat majmuk. Kita harus menyediakan masyrakat yang boleh dan berupaya membuka minda masyarakat mengenai dialog agama. Sekiranya kita membiarkan masyarakat kita dipengaruhi dengan pemahaman asing yang lain suasana persekitarannya akan menyebabkan persoalan ini akan ditangani secara emosi.
2. Extremis dalam agama. Islam sering dituduhkan sebagai extremis kerana media atau kuasa Barat yang sentiasa mencari jalan untuk merosakkan imej Islam. Dan dalam setiap agama, ada dikalangan pengikutnya yang melampaui batas sehingga mengganggu keharmonian beragama dalam masyarakat kita. Pelampau ini sentiasa mencari jalan untuk menidakkan peranan agama lain dalam kehidupan dan kadangkala berlaku provokasi yang boleh mendatangkan ketidakselesaan dalam masyarakat.
3. Globalisasi. Pengaruh globalisasi seperti pemindahan budaya dari barat terutama yang tidak baik, materialism, individualism ke dalam negara kita, bukan sahaja akan merosakkan keharmonian hidup bermasyarakat, malah ianya turut ditentang oleh semua nilai dan agama. Cabaran ini perlu ditangani oleh semua agama dan NGO harus bekerja kuat lagi menanam kekuatan spiritual dalam diri individu tersebut.
4. Perkauman yang dikaitkan dengan agama. Tidak dinafikan oleh kaum di Malaysia selalunya dikaitkan dengan agama Islam, Buddha, Hindu, Sikh atau Kristian. Mungkin ianya memberi kekuatan kepada sesuatu bangsa tersebut bagi memperkukuhkan jatidiri mereka. Yang perlu kita tangani sekiranya berlaku perselisihan pandangan, perbuatan oleh sesuatu kaum tidak semestinya perlu dikaitkan dengan agamanya. Sikap emasional dalam penyelesaian sesuatu isu menyebabkan kita hilang pertimbangan sehingga mengganggu hubungan antara kaum di negara ini.

Harapan
Civilized society – sebuah masyarakat madani. Inilah harapan kita supaya kita mempuyai suatu tamaddun yang tinggi yang mempunyai ciri-ciri kualiti dalam masyarakat kita. Inilah impian masyarakat kita pada masa akan datang. Impian ini boleh menjadi realiti sekiranya masyarakat di negara ini menghargai toleransi yang diamalkan sejak 49 tahun yang lalu.

Untuk mendapatkan manafaat daripada masyarakat kita , indidvidual itu sendiri mesti melakukan sesuatu yang terbaik untuk masyarakat tersebut. Daripada yang muda, tua, yang kaya dan miskin, lelaki dan perempuan kita harus mampu mencari jalan untuk mengikat masyarakat kita dianta satu sama lain. Kita tidak berupaya untuk berpecah lagi. Dan untuk berjaya kita harus bersatu mencari jalan untuk mencapai objektif bagi membina masyarakat yang terbaik dan sentiasa membuka ruang komunikasi diantara agama dan kaum.


Azizuddin Ahmad
Naib Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM)

[1] Pickthall, M.M, Tolerance in Islam, 1927 lecture, An Abridged version.
[2] Abdel Rahman, Muddathir, Dr, Da’wah and Inter Religious Tolerance, ISTAC, Sept.2000.

[3] Young, Phillips, Resident Representative, UNDP Malaysia, Singapore, Brunei, forward in Non-profit Organisations in Malaysia Directory, July 1999.
[4]Murugesu Pathmanathan, Civic Education: The Role of Religion, Centre of Policy Sciences, 1994.