Monday, June 25, 2007

SOLIDARITI UMAT DAN PERANAN MAHASISWA[1]

Muqaddimah

Dalam era ke 21 ini, banyak perubahan berlaku. Tahun 2000 ke 2006 menyaksikan permulaan hubungan manusia yang melebar, luas seluas lautan. Dengan adanya sistem penerbangan di awal abad ke 20, telah meluaskan perjalanan dan hubungan sesama manusia tetapi dalam abad ke 21, menyaksikan perhubungan manusia tanpa batasan ini berlaku dengan lebih dan amat pantas. Perhubungan baru ini tidak memerlukan kos yang tinggi dan masa yang lama, hanya dengan titipan jari telah mampu melakukan interaksi yang aktif diantara manusia.

Perubahan ini membawa signifikasi kepada perkembangan dunia. Tidak ada satu negara, suatu perkara, suatu peristiwa tersisih atau terlepas daripada pengetahuan masyarakat sekeliling dan dunia. Perkembangan ini memerlukan banyak perkara yang ideal akan menjadi suatu realiti seperti kebebasan, ketelusan, demokrasi, kerjasama lebih banyak diantara negara, perdagangan bebas tanpa sekatan, dunia siber, kebanjiran maklumat dan imigrasi. Perubahan yang berlaku menuntut kekuatan diri, masyarakat,kerajaan dan negara tersebut mempertahankan jatidiri serta kedaulatan negara demi survival kemerdekaannya.

Keadaan Umat di dunia sekarang.



Perubahan yang berlaku di seluruh dunia memberi kesan kepada perubahan sikap, pemikiran dan tindakan seseorang dan sesebuah negara. Umat dapat dilihat dan dikenali dengan bahasa, budaya dan agamanya (sistem kepercayaan). Dengan berkembangnya globalisasi, ketiga-tiga aspek ini menjadi cabaran untuk mengekalkannya sebagai jati diri mereka.

Negara tidak lagi dapat memerintah tanpa sokongan daripada masyarakat sivil. Masyarakat yang semakin celik juga mampu membuka ruang komunikasi yang luas dalam dan luar negara berkaitan dengan isu-isu semasa yang mampu memberi kesan kepada sistem dan gaya pemerintahan sekarang.

Umat Islam sekarang semacam berada di kandang orang salah. Setiap langkah dan tindakan mesti diberi justifikasi kepada dunia. Sekiranya tidak sesuai dengan kehendak dunia barat, maka kita bertanggungjawab jikalau ada kesan dari tindakan tersebut. Yang malangnya, umat Islam dilabelkan dengan berbagai-bagai sinonim seperti pengganas, ketinggalan zaman, zalim, dan lain-lain. Tindakan ini sebenarnya usaha yang serius dari Barat yang diketuai oleh US, bagi mengalih pandangan dunia terhadap kerosakan yang telah diakukan mereka kepada penduduk dunia. Ini termasuk peningkatan senjata Nuklear, penyelidikan senjata biologi dan bahan kimia lain, sistem perdagangan yang tidak adil melalui IMF, kepanasan dunia yang semakin meningkat (global warming) hasil tindakan berleluasa oleh kuasa besar, dan pencerobohan ke negara-negara secara haram.


Keadaan umat di dunia Islam
Awal abad ke 21, negara Barat (US dan sekutunya ) telah mengistiharkan perang dengan kelompok Islam yang dikatakan sebagai pengganas. Semenjak persepsi barat berubah terhadap Islam – mereka lebih agresif, campurtangan, berani melakukan pencerobohan dalam negara Islam itu sendiri seperti berlaku di Iraq dan Afghanistan.

Banyak peristiwa di dunia Islam yang menjadi kisah duka kita. Di Palestin, Afghanistan, Iraq, Sudan, Acheh, Selatan Filipina, Selatan Thailand, Xi Jiang, China, Chenzhen dan Sri Lanka. Kisah duka ini telah berlarutan semacam tidak ada penyelesaiannya. Semuanya berlaku secara dirancang dan kelemahan umat Islam itu sendiri. Mudahnya dipermainkan oleh kuasa besar.

Negara Islam dan umatnya juga kebanyakan terdiri dikalangan negara-negara miskin yang tidak kukuh ekonomi, pemerintahan, ketenteraan, pendidikan akhirya kita terpaksa tunduk dengan kuasa-kuasa besar atas kelemahan yang ada pada kita.

Malah Organisasi besar iaitu OIC yang pernah suatu ketika dahulu amat berpengaruh dalam menukarkan dasar barat, akhirnya dilemahkan dengan perbezaan kepimpinan dan perubahan kuasa.
-perbezaan kelompok berdasarkan mazab yang fanatik,
-pendidikan yang rendah dan taksub,
-tidak menguasai ekonomi serta kebergantungan ekonomi dengan orang lain.

Usaha yang dilakukan oleh kelompok yang anti Islam sentiasa mengintai-intai kelemahan umat Islam. Isu-isu sering dibangkitkan dan terus dibangkitkan seperti demokrasi, hak Asasi Manusia, Poligami, Hukum Hudud dan keadilan dalam undang-undang Islam, minoriti, wanita dan pakaian, serta dominasi kaum lelaki terhadap wanita.[2] Reza Aslan, menulis dalam bukunya, No God But God: The Origins, evolution, and Future of Islam bagaimana beliau diberitahu oleh suami isteri dari Barat yang sanggup datang ke negara Arab, berpakaian dan berkelakuan seperti masyarakat tersebut semata-mata untuk menyebarkan agama Kristian. Begitulah seriusnya undercover yang dilakukan oleh misionari Kristian terhadap umat Islam yang semakin meninggalkan agamanya.

Prioriti umat
Solidariti (Penyatuan)
Sejarah Islam banyak mencatitkan solidariti (perpaduan) dikalangan umat Islam contoh persahabatan diantara sahabat. Islam mengajar umat nya dalam solat contohnya, erti mengenai ikatan persaudaraan melalui solat. Solat mengajar ketaatan, displin, kesungguhan, keinsafan, berjemaah, menyusun saf yang lurus, mendengar, membaca, menghayati ayat Al Quran secara konsisten dan banyak lagi. Semuanya ini adalah latihan kita untuk memahami umat Islam adalah satu. Walau apa perbezaan yang ada, namun kita adalah satu, se a’qidah. Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah penolong kepada sebahagian yang lain sebagaimana diungkapkan dalam Al Quran, surah At Taubah 9:71 yang bermaksud “ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) perbuatan makruf dan mencegah kemungkaran”.



Ekonomi
Abdul Rahman Al Auf, seorang sahabat Nabi yang terkenal, pernah menolak permintaan daripada seorang sahabat dari golongan Ansar Madinah selepas hijrah daripada Mekah untuk mengongsikan hartanya. Yang diminta ialah tunjukkan kepada dimana pasar. Beliau terus memulakan perniagaannya sehingga dapat menguasai pasaran yang dulunya dikuasai oleh Yahudi. Ini menunjukkan bahawa keperluan kepakaran dan sifat keusahwanan mesti diberikan keutamaan. Kerana dengan adanya ekonomi yang kuat baik dari dikalangan individu, kelompok dan negara menjadikan kita sentiasa merdeka serta berupaya memberi pembangunan, keamanan dan keadilan kepada rakyat. Kekayaan negara adalah merupakan amanah kepada pemerintah untuk memastikan ianya dapat menjana kewangan negara, membangunkan kemajuan serta mengurangkan kemiskinan.

Kualiti dan professionalism
Modal insan merupakan agenda penting dalam sesebuah negara. Kalau modal insan ini tidak dibina akalnya, tidak sempurnakan akhlaknya, tidak diberi kemahiran serta kekuatan spiritualnya, modal itu akan menjadi lemah seterusnya lemah kekuatan sesuatu negara. Banyak negara yang menggunakan perbelanjaan negara dengan pembangunan infrastuktur dan senjata. Walaupun ianya dapat mengukuhkan negara namun dalam masa jangkapanjang ianya melemahkan sebahagian besar potensi manusia dalam sesebuah negara. Negara tersebut akhirnya menjadi lemah akhirnya memerlukan bantuan orang lain untuk membangunkan negara. Tumpuan yang seharusnya diberkan oleh pemerintah ialah kepada pendidikan dan bukannya ketenteraan. Pendidikan dapat memberi negara masa depan. Pendidikan dapat meningkatkan mutu insan yang berada disesebuah negara. Insan itulah yang akan memacu pembangunan negara dan kekuatan. Dengan menerapkan prinsip dan nilai, budaya yang cemerlang dalam Islam, modal insan akan memberi pulangan yang cukup berharga kepada pembangunan masa depan negara.




Umat Islam dan Melayu di Malaysia
Perbezaan yang sedia ada dalam politik turut menyumbang kepada bibit-bibit perpecahan dikalangan umat Islam dan melayu dalam. Perbezaan dalam segi pandangan namun ada ke tahap membimbangkan. Menghilang kematangan dalam memberi pandangan dan tidak mengerti mengimbangi perbezaan. Kita seharusnya melihat bagaimana saranan Dr. Yusuf Al Qaradhawi dalam bukunya “Memahami keutamaan berasaskan Al Quran dan As Sunnah” bahwa umat Islam sekarang perlu memahami keutamaan yang boleh kita jadikan sebagai asas untuk kita mencari kata sepakat dan bertasamuh.

· Ketinggalan dari sudut ekonomi, kepakaran.
· Masih leka dengan hiburan dan kehidupan material.
· Menggunakan kebebasan dalam memenuhi nafsu.

Peranan Mahasiswa
· Persiapan kualiti yang berkualiti untuk cabaran masa depan. Tidak dinafikan bahawa kualiti menentukan kesempurnaan sesuatu perkara. Tidak ada gunanya dalam zaman serba moden ini kita hanya menjadi tempelan. Kita harus membuang stigma yang menyatakan bahawa umat Islam melayu tidak profesional, tidak berkualiti, kerja sambil lewa, tiada penyelidikan, kualiti subsidi, tiada kemahiran dan tidak mampu berdaya saing.
· Mengasah kepimpinan, Kemahiran dan Kesusahawan. Dalam sejarah pelajar-pelajar Mesir adalah merupakan pelopor kebangkitan Islam di Malaysia dan juga menyedarkan umat ketika itu menentang penjajahan. Semangat ingin membebaskan jiwa hamba kepada jiwa merdeka.
· Melihat keutamaan mengukuhkan umat. Kita harus meletakkan keutamaan dalam melihat perkara-perkara yang berlaku dalam umat melayu Islam di negara kita. Kita mesti mengutamakan persamaan yang boleh menyatukan kita. Mencari perbezaan memang mudah, dan mudah lagi mencari keburukan dan kesalahan. Namun mencari titik-titik persamaan yang menjadikan kita umat yang kuat adalah lebih mulia. Satu kajian yang dilakukan oeh Rand Corporation[3] yang beroperasi Amerika Syarikat telah membahagikan umat Islam ini dengan berbagai kelompok . pertama kelompok sekularis, fundamentalis, traditionalis dan modernis. Mereka akan menggunakan seluruh kuasa dan kewangan yang ada kan memastikan golongan modernis ini lebih diberikan perhatian dengan menyediakan peluang dan ruang (platform) untuk mereka menyuarakan dan menyebarkan pandangan mereka di dalam dunia Islam. Dan bagi sekularis, mereka akan membantu mengikut keperluan yang bersesuaian. Mereka perlu disediakan institusi dan programs. Membantu tradisionalis dengan menyokong usaha-usaha dalaman yang boleh mengibangi fundamentalis. Inilah usaha-usaha yang dibuat oleh pihak barat, yang sedang dan akan berlaku. Sekiranya kita tidak memikirkan nasib untung umat, dan kita tidak beruapaya menahan perpecahan yang berlaku, jangan kita tangisi sekiranya kita nanti dumpamakan oleh hadis Rasulullah s.a,w seperti buih di lautan, banyak tetapi tiada makna.[4]

Banyak lagi peranan sebagai mahasiswa/I dalam persiapan diri namun kita tidsak harus hanyut dengan ketinggian ilmu sehingga lupa rakyat yang memerlukan pembelaan. Kemungkaran yang berlaku kerana kelalaian, kelemahan dan pertelingkahan yang berlaku dalam umat itu sendiri. Inilah punca hilangnya ketenteraman dan keamanan dalam masyrakat. Peranan kita sebagai saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran satu tugas cukup besar dan memerlukan hikmah dan kesabaran yang berterusan.[5]

Ibn ‘Atha’illah telah berkata dalam hikmahnya “ banyak sekali manusia yang diberikan usia umur yang panjang tetapi sumbangan yang diberikannya sangat sedikit. Dan banyak sekali orang yang mempunyai sumbangan yang sangat banyak. Sesiapa yang umurnya diberi berkah oleh Allah s.w.t maka dalam jangka masa pendek dia akan mendapatkan berbagai-bagai kurniaan daripada Nya, yang sangat sulit untuk diungkapkan.

Kita hidup dalam satu masyarakat yang majmuk. Keupayaan dan kebijakan kita menerima berbagai kaum dalam negara kita adalah satu kemahiran dan persefahaman yang bukan suatu yang mudah. Kita mesti mampu mengimbangi kelemahan kita dengan melakukan pembaikan yang berterusan. Kita mempunyai komitmen dan sentiasa membuat persediaan untuk mengisi kepimpinan yang akan datang dan membawa umat ke arah yang lebih cemerlang.

Azizuddin Ahmad
Naib Presiden
Majlis Belia Malaysia





[1] [1] Kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Ketamadunan dan Cabaran Mahasiswa, di Kaherah, Mesir, 24 November 2006, oleh Azizuddin Ahmad, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).
[2] Civil Demoratic Islam: Partners, Resources and Strategis, Cheryl Bernard, RAND Corporation, 2003
[3] Civil Demoratic Islam: Partners, Resources and Strategis, Cheryl Bernard, RAND Corporation, 2003
[4] Hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Dawud daripada Tsauban maksudnya “ Pada suatu hari kelak, umat memusuhi mu dari segala penjuru, seperti anai-anai yang memakan kayu” Mereka bertanya:”Apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada masa itu wahai Rasulullah ?” Rasulullah s.a.w menjawab:” jumlah kamu pada waktu itu banyak akan tetapi kamu hanya bagaikan buih yang dibawa arus air, dan Allah telah menghilangkan rasa takut daripada dada para musuhmu, dan mereka memasukkan wahan di dadamu. “ Mereka bertanya kembali:” Apakah wahan itu wahai Rasulullah?” Rasulullah s.a.w menjawab “Cintakan dunia dan takut akan mati”
[5] Fiqh Kenegaraan, Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi, ABIM, Blue T Sdn Bhd, 1999.

No comments: