Kamus Dewan menyatakan bahawa perpaduan adalah keadaan atau hal berpadu. Ia turut membawa makna persatuan, permuafakatan, perjalinan, percantuman, dan pergaulan . Ia menggambarkan suatu hubungan di antara sesama insan; mempunyai sesuatu yang menyakinkan bagi kedua-dua pihak untuk bercantum dan berpadu. Dalam ertikata lain, perpaduan perlu ada sesuatu yang lebih besar yang perlu dikongsikan secara bersama bagi membolehkan mereka bersatu.
Sehubungan ini, kita sering diperingatkan bahawa manusia diciptakan berbeza-beza di antara satu sama lain (al-Hujurat: 13) bukannya untuk melakukan kerosakan tetapi untuk kenal-mengenali, saling memahami dan menjalin hubungan persaudaraan agar kita dapat menunaikan amanah sebagai pemimpin (khalifah) di bumi ini.
Walaupun demikian, kepimpinan masih merupakan tunjang utama memastikan perpaduan dan keamanan sesebuah negara. Sebab itulah tanggungjawab dan amanah terletak di bahu para pimpinan. Mereka seharusnya bertindak mengikut kaedah tasharruf al-imam ’ala al-ra’iyyah manuth bi mashlahah (seluruh kebijakan dan tindakan pemimpin terhadap rakyat haruslah bersumber kepada kepentingan mereka) bagi memastikan urusan rakyat dapat diselesaikan dan kekayaan serta peluang diagihkan secara adil dan saksama. Dengan kaedah ini barulah urusan rakyat dapat diadili dengan baik.
Bagi generasi muda di Malaysia, memang susah untuk digambarkan pentingnya perpaduan, keamanan, kesefahaman dan kestabilan bagi sesebuah negara. Pertama, sejak merdeka, negara kita terus-menerus membangun pesat, aman serta stabil ekonominya. Sikap generasi muda tidak prihatin berkomunikasi diantara kaum. Kedua, generasi muda yang ada sudah mempunyai standard yang boleh dibandingkan dengan negara lebih maju; maka nilai dan pandangan mereka sudah jauh berbeza dalam sesuatu isu. Ketiga, generasi muda tidak mahu bergantung kepada sejarah kerana kesannya kepada mereka amat minimal sekali. Barangkali inilah sebabnya generasi muda tidak lagi bergantung kepada bebanan sejarah (historical baggage) yang kononnya, mungkin akan melambatkan reformasi.
Walaubagaimanapun, melakarkan kegemilangan masa depan tidaklah semudah itu. Ianya melibatkan manusia dengan dinamika zaman dan sejarahnya. Ia punya permulaan dan penghujungnya. Setiap sesuatu yang berlaku akan dicatatkan sebagai sejarah, kecil atau besar, dan tertakluk kepada pelakunya.
Generasi muda harus faham bahawa dengan sejarah kita wujud; dengan sejarah jugalah kita dapat meraih kemerdekaan; dan dengan sejarahlah kita dapat kenal erti kehidupan. Apa yang kita dapat rasai hari ini adalah hasil permuafakatan bersama di antara pelbagai kaum dan agama yang ada dalam negara kita.
Kita tidak perlu mengambil sejarah orang lain untuk dihujahkan bagi melakukan perubahan. Perkara pokok ialah bahawa keamanan dan kestabilan yang kita ada tidak harus digadaikan dengan perbezaan ideologi serta pemahaman kebebasan yang melampau hanya di atas nama demokrasi. Sewajarnya generasi mudalah yang harus memulakan dialog dan perbincangan secara terbuka, berlapang dada, dengan ilmu dan bersedia bertolak ansur serta mengerti kedudukan kita dalam membina negara baru untuk alaf baru!