Sunday, May 14, 2006

Pengukuhan Agenda Mempertingkatkan Kekuatan Belia

A. Mukadimah
Pembentangan RMK-9 pada 31 Mac 2006 yang lalu mencerminkan perancangan kerajaan menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat. Perancangan lima tahun ini merupakan satu lonjakan baru dalam usaha kerajaan membentuk Malaysia sebagai sebuah negara maju.

YAB Perdana Menteri pernah membangkitkan tiga fokus penting yang perlu dititikberatkan oleh generasi muda belia sebagai persediaan masa depan, iaitu: (i) kepimpinan, (ii) kemahiran dan (iii) keusahawanan. Ketiga-tiga fokus ini memerlukan ilmu sebagai asas utama pembinaannya. Inilah agenda utama yang perlu digarap dan dilaksanakan dengan penuh tekun oleh generasi muda yang berwawasan.

B. Profail Generasi Muda di Malaysia
Menurut perangkaan terkini (2005) yang dikeluarkan sebagai asas perancangan pembangunan belia di Malaysia di dalam RMK-9, jumlah keseluruhan generasi muda yang berumur di antara 15 hingga 39 tahun ialah 11.10 juta orang atau 41.5% dari 26.75 juta rakyat Malaysia. Jumlah generasi muda ini dijangka meningkat sebanyak 5% kepada 11.65 juta orang menjelang tahun 2010.

Dari segi komposisi rakyat Malaysia, jumlah generasi muda peringkat umur ini akan berkurang dari 41.5% kepada 40.2% dari keseluruhan rakyat Malaysia. Menjelang tahun 2010, golongan dewasa yang berumur 40 tahun ke atas meningkat dari 25.9% kepada 28.1% dari keseluruhan rakyat Malaysia.

Perangkaan RMK-9 juga menyatakan bahawa sejumlah 6.67 juta orang atau 60% dari 11.10 juta generasi muda belia mempunyai pekerjaan. Ini merupakan peningkatan sebanyak 8.2% dari paras 6.16 juta orang generasi muda di bawah 40 tahun pada tahun 2000. Sekiranya peratusan belia yang mempunyai pekerjaan ini kekal pada tahap 60% dari jumlah keseluruhan, jumlah belia yang mempunyai pekerjaan akan meningkat sebanyak 4.8% atau 320,000 orang menjelang 2010 menjadikan jumlah belia yang mempunyai pekerjaan mencapai 6.99 juta orang.

Fakta dan angka ini membawa makna bahawa jumlah rakyat Malaysia di dalam peringkat dewasa akan semakin bertambah kerana peningkatan jangka hayat penduduk. Fenomena ini sememangnya konsisten dan sejajar dengan tahap pembangunan sesebuah negara yang meningkat maju.

Fakta dan angka ini juga membayangkan bahawa generasi muda belia akan menjadi teras utama pembangunan negara (development powerhouses) kerana peringkat umur ini merupakan peringkat umur paling bertenaga dan produktif di dalam jangka hayat seseorang. Maka, peranan generasi muda akan menjadi bertambah penting di masa-masa yang akan datang. Generasi muda perlu dimatangkan lebih awal untuk memikul beban tanggungjawab kepimpinan masyarakat.

C. Isu dan Cabaran Generasi Muda
Dalam perancangan pembangunan generasi, manfaat yang dinikmati rakyat keseluruhannya, khususnya generasi muda, harus dilihat sebagai bukan sahaja tanggungjawab kerajaan tetapi juga kesediaan rakyat menerima dan membantu kerajaan.

Pada masa yang sama, generasi muda juga harus dilihat sebagai golongan yang paling banyak dan mudah terkesan (vulnerable) oleh sebarang arus perubahan yang dibawa oleh mana-mana bentuk pembangunan. Lantaran itu, mereka wajar didengari dan dilindungi seadanya dari rempuhan putaran ganas budaya yang terlalu asing agar perubahan yang diingini itu mempunyai arah. “Young people must be heard; they must be considered as part of the solution and not as the problem.”

Di dalam satu persidangan belia di Geneva, Switzerland pada Disember 2004, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengemukakan lima isu yang bakal dihadapi oleh generasi muda belia. Cabaran-cabaran tersebut ialah (i) globalisation and integration of economies and societies, (ii) information and communication technologies (ICT), (iii) HIV/AIDS and young people, (iv) youth and conflict, dan (v) inter-generational relations.

Isu-isu ini pastinya berbeza mengikut perubahan-perubahan yang berlaku sama ada di dalam aspek politik, ekonomi mahupun sosial. Generasi muda belia wajib memahami kesemua isu dan permasalahan ini untuk memudahkan mereka menghadapi cabaran semasa. Dan menjadi tanggungjawab kerajaan dan jentera pelaksananya serta institusi-institusi awam seperti sektor media untuk membantu generasi muda belia menangani isu-isu ini secara baik dan terancang.

D. Senario Belia Masa Kini
Terdapat beberapa pandangan yang ditimbulkan oleh generasi muda belia mengenai perubahan yang muncul di dalam masyarakat mereka sendiri.

Pertama, Timbalan Ketua Pemuda UMNO, sdr Khairy Jamaluddin merasakan wujudnya semacam satu “mismatch” di antara perancangan pengurusan sumber manusia dengan kehendak industri (Berita Harian, 29 Mac 2006). “Mismatch” ini berlaku kerana dunia semakin pesat berkembang dan perubahan di dalam sektor industri semakin dinamik, sedangkan perancangan sumber manusia seolah-olah tidak peka dengan perubahan yang ada. Akibatnya, jumlah mereka yang berkemahiran tidak seiring dengan kehendak sektor industri yang begitu mendesak.

Kedua, cabaran yang dihadapi oleh generasi muda belia di Malaysia pastinya tidak serupa dengan apa yang dihadapi oleh generasi muda di negara-negara lain termasuklah di negara-negara mundur. Di Malaysia, kita mempunyai belia yang berpendidikan tinggi dan mempunyai peluang latihan kemahiran bagi membolehkan mereka berdikari. Sehubungan ini, dasar kerajaan yang serius mengenai pendidikan tergambar di dalam perancangan yang tersusun serta komitmen kepada pembangunan pendidikan. Ini ternyata telah memberi kesan besar di masa-masa lampau sehingga dapat merapatkan jurang kemiskinan.

Namun demikian, ada beberapa perkara yang harus diberi perhatian segera.

Pertama, kualiti generasi muda belia yang semakin merosot. Generasi muda belia kita dihambat dengan rempuhan budaya yang asing dengan budaya yang telah membesarkan generasi ibu bapa mereka. Lebih malang lagi apabila proses pendidikan yang mereka lalui tidak mengukuhkan teras budaya dan sistem nilai sebagaimana yang diharapkan. Nilai-nilai seperti mencintai budaya ilmu, toleransi, berintegriti dan seumpamanya semacam gagal bersaing dengan semarak dan gejolak budaya “sensate”.

Kedua, sikap tidak mengambil peduli (apathy) dan terlalu menurut nafsu banyak diambil kesempatan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan termasuklah mereka yang mengedar pelbagai jenis dadah. Ketagihan dadah, arak dan zina oleh generasi muda semacam satu hukum alam yang tidak terelak. Manakala kegiatan jenayah pula semakin canggih dan disifatkan sebagai satu “collateral damage”.

Ketiga, disebabkan rasa ingin tahu yang mendalam, generasi muda yang terdedah dengan pelbagai teknologi canggih banyak dipengaruhi oleh imej dan maklumat yang tersalur menerusi internet dan media elektronik. Tanpa benteng ketahanan diri yang kukuh-ampuh, generasi muda belia sukar menanganinya secara wajar. Mereka akhirnya tenggelam dan larut dengan keserakahan yang ditaja oleh teknologi ini.

E. Impak Pembangunan Kepada Generasi Muda
Tidak sedikit yang berpandangan bahawa proses pembangunan turut membawa kepada kerapuhan moral masyarakat yang dirubah. Generasi muda khususnya semakin terdedah dengan pelbagai gejala perosak. Kebiadapan dan keserakahan dianggap sesuatu yang lumrah.

Tidak sedikit juga yang beranggapan bahawa pembangunan kita banyak menuruti acuan pembangunan Barat; lalu membiarkan generasi muda berlumba-lumba memajukan diri sehingga terpaksa mengorbankan nilai penting dalam kehidupan beragama yang sepatutnya tidak berubah. Kini, objektif utama segelintir generasi muda adalah mencari kebebasan, bersikap individualistik dan mengejar kebendaan. Kesan akhirnya ialah masyarakat yang rosak.

Sehubungan ini pandangan Profesor Datuk Dr Ismail Mohd Salleh perlu diketengahkan (Berita Harian, 29 Mac 2006). Menurut beliau, modal insan bukan sahaja penting untuk pertumbuhan masyarakat tetapi turut memberi kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi. Pembinaan modal insan membolehkan seseorang mendaki hiraki sosial yang lebih baik dan mampu menghadapi masalah kemiskinan. Pengukuhan modal insan mampu juga menggalakkan peningkatan produktiviti negara.

Keberkesanan Pelaksanaan Program Pembangunan Belia: Beberapa Cadangan
Berikut dicadangkan beberapa perkara yang bersangkutan dengan pelaksanaan program pembangunan belia khususnya terhadap cadangan yang dikemukakan oleh RMK-9:

Pertama, model “smart partnership” di antara kerajaan dan NGOs perlu diusahakan. NGOs seharusnya diambil sebagai rakan pembangungan bagi memperincikan pelan cadangan yang dikemukakan di dalam dokumen RMK-9 agar sasaran pelaksanaannya lebih berkesan dan sampai kepada kumpulan yang disasarkan.

Kedua, pelaksanaan program memerlukan penglibatan seluruh agensi kerajaan dan masyarakat. Generasi muda belia kini lebih terdedah dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang pantas. Ini menghubungkan mereka dengan warga dunia lain yang seusia dengan mereka. Jalinan hubungan ini akhirnya mungkin mencetuskan suatu budaya belia yang kehendak, tujuan, nilai dan identiti mereka hampir serupa meskipun mereka masih terus berbilang agama dan etnik.

Ketiga, keberanian generasi muda menceburi pembangunan keusahawanan sebenarnya mencerminkan Kekuatan jati diri dalam budaya bersaing, kreativiti dalam merebut peluang dan meningkatkan kualiti. Umpamanya, di dalam sektor pertanian, belia mesti terus merubah perspektif mereka yang melihat sektor pertanian sebagai satu kerjaya peladang. Belia sepatutnya melihat keseluruhan “supply-chain” sektor pertanian termasuklah bidang pengurusan, pemasaran, R&D, “packaging”, perancangan jangka panjang, pelaburan dan sebagainya. Perspektif sebeginilah yang akan menarik tarikan generasi muda belia menceburi sektor pertanian.

Keempat, kerajaan memerlukan mekanisme baru dalam menangani permasalahan pelaksanaan program pembangunan. Ruang-ruang forum terbuka bersama generasi muda yang terlibat secara langsung perlu diteruskan secara jujur dan tidak sekadar melepaskan batuk di tangga ataupun sekadar syarat.

Kelima, kerajaan perlu mempunyai agenda fokus khususnya terhadap kumpulan generasi muda belia yang berisiko tinggi termasuklah mereka yang tercicir. Mereka yang tercicir perlu ditingkatkan potensi. Jika dibiarkan mereka akan mempengaruhi rakan-rakan sebaya (peers) yang lain. Mengurangkan permasalahan ini akan membolehkan kerajaan menumpukan usaha pembinaan modal insan yang lebih berkesan.

G. Kesimpulan
Semakin maju sesebuah negara, semakin rumit pula masalah yang dihadapi. Di dalam perkaitan Inilah, kita terpaksa mengakui bahawa lunturnya batas sempadan di antara negara-negara tidak mengecualikan negara dan masyarakat kita dari masalah yang berlaku di negara-negara luar. Namun, baik atau buruknya implikasi insiden-insiden di tempat lain kepada masyarakat kita sangat tergantung kepada kekuatan benteng ketahanan kita sendiri.

Apapun program peningkatan kekuatan belia yang sedang dan akan kita laksanakan tidak akan dapat lari dari merenung semula impak dan implikasinya kepada semangat dan dinamika dalaman masyarakat kita sendiri, khususnya generasi muda. Inilah yang sewajarnya menjadi faktor penentu (determining factor)!

No comments: