Wednesday, May 17, 2006

Membina Generasi Bebas Dadah Tanggungjawab Kita


Dalam saat kejayaan negara ke arah membina sebuah negara dan masyarakat yang maju, kita sering dihambat berbagai masalah dalam dan luar negara. Permasalahan sosial suatu perkara yang tidak dapat dielakkan dalam pembangunan sesebuah negara. Salah satu masalah yang melanda generasi kita ialah penyalahgunaan najis dadah. Perangkaan yang meningkat sebenarnya menakutkan kepimpinan negara. Ianya bukan melibat individu yang terbabit, malah turut membangkit permasalahan sosial yang ain sebenar mencuri, pembunuhan, merogol dan seumpamanya. Dan ianya tidak berhenti setakat individu tersebut, tetapi kan merebak kepada generasi kemudiannya akhirnya akan melemahkan kekuatan negara . Sudah menjadi lumrah alam cabaran ini harus di tangani dengan bijaksana oleh kepimpinan sesebuah negara.

Sebagai sebuah Badan belia yang bertanggungjawab merasakan peri pentingnya aset negara ini dikembalikan kekuatannya. Pada tahun ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil initiatif dalam meletakkan agenda memartabatkan belia dalam negara ini berusaha untuk menyedarkan semua golongan masyarakat terutama belia remaja tentang bahaya yang sedang melanda sumber manusia di dalam negara ini. MBM dalam siri program “Belia Benci Dadah” yang diadakan oleh (MBM) yang diadakan di seluruh negara berharap dapat menyampaikan mesej mengajak generasi muda untuk membenci penyalahgunaan dadah di negara ini. Program yang menjurus kepada pembentukkan minda dan kesedaran yang mendalam turut disertai oleh Presiden Majlis Belia Malaysia sendiri iaitu YAB Dato’ Seri Dr.Mohd Khir Toyo.

Usaha MBM ini bertepatan dengan gagasan yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia untuk menjadikan Malaysia bebas dadah tahun 2015. Bukan suatu yang mustahil. Kita seharusnya meletakkan impian kita setinggi yang mungkin. Yang penting bagi kita ialah bagaimana semua pihak yang terlibat (tidak ada seorangpun berkecuali) dalam memerangi najis dadah. Negara mampu bebas dari dadah ini sekiranya perubahan berlaku dalam setiap individu, keluarga, jiran, masyarakat, undang-undang, penguatkuasaan serta kekuatan kuasa politik. YAB Dato Seri Hj. Abdullah Ahmad Badawi , Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa” kita memerlukan tindakan bersepadu serta terarah oleh semua agensi kerajaan, NGO dan masyarakat kerana gejala dadah berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk kelemahan institusi keluarga, tahap pendidikan dan kelemahan pegangan agama.”[1] Kita sudah penat dan jemu dengan angka penagihan yang semakin naik. Kita sudah jemu dengan berbagai kerenah akibat perbuatan orang-orang yang terlibat dengan dadah. Sudah tiba masanya, semua bersatu mengambil initiatif bagi mengelakkan perkara ini.

Perangkaan menunjukkan keterlibatan belia dalam najis dadah amat menggerunkan. Menurut Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan, terdapat 23,062 penagih dilaporkan pada 9 bulan pertama tahun lepas. 10,650 orang dari jumlah tersebut adalah penagih baru dan 12,412 penagih berulang. Secara purata 1,331 penagih baru dan 1,552 orang penagih berulang dikesan bagi tempoh sebulan. Ini bermakna 44 penagih baru dan 52 penagih berulang dikesan setiap hari.

Perangkaan ini mengamit naluri kita untuk melakukan sesuatu. Namun bagi persatuan belia yang ingin mengambil initiatif program ini seharusnya melihat permasalahan sosial ini sebagai suatu perkara yang serius. Persatuan belia mesti berusaha untuk menyediakan program yang konkrit bagi menembusi jiwa dan minda para belia dan seterusnya dapat membimbing mereka ke arah yang diyakini akan memberikan kejayaan. Menurut Herbert Blumer[2] menyatakan bahawa pusingan hidup masalah sosial ini boleh dibahagikan kepada 5 bahagian. Bahagian-bahagian tersebut ialah; Mengenali permasalahan sosial, pengesahan masalah tersebut sebagai masalah sosial, menggerakkan langkah-langkah pencegahan, menyediakan pelan untuk penyelesaian, melaksanakan keputusan yang diambil.

Menurut Blumer, 5 bahagian ini merupakan satu proses evolusi. Setiap masalah sosial perlu melalui setiap proses secara berperingkat-peringkat dan pergerakan tersebut tidak berlaku secara automatik. Selain daripada Blumer, terdapat usaha yang terbaru untuk menerangkan pusingan hidup masalah sosial ini.

Peringkat yang pertama dinamakan sebagai peringkat "tidak kisah". Di peringkat ini masyarakat melihat masalah tersebut sebagai perkara biasa dan tidak merasai bahawa ianya akan mendatangkan bahaya atau impak tidak baik kepada masyarakat. Masyarakat yang mungkin berpendapat bahawa masalah yang wujud itu merbahaya, tetapi oleh kerana ianya berlaku di luar kawasan ataupun daerah, maka ianya dianggap tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada masyarakat mereka. Hadden menamakan suasana sebegini sebagai the alarm has not yet been sounded atau loceng yang masih belum dibunyikan lagi. Keadaan ini sudah tentu merugikan dan akan menimbulkan lebih banyak masalah kepada masyarakat kita.

Peringkat yang kedua ialah dimana masyarakat telah menyedari bahawa masalah tersebut telah dilihat sebagai masalah sosial. Untuk sampai kepada peringkat ini, terdapat dua syarat yang perlu dipenuhi. Syarat yang pertama ialah masalah tersebut mestilah menunjukkan kepada masyarakat bahawa ianya tidak baik dengan merbahaya serta menjejaskan nilai sosial dan norma masyarakat setempat. Syarat yang kedua ialah masalah tersebut mestilah melibatkan jumlah masyarakat yang ramai. Masalah sosial pada peringkat ini sudah sampai ketahap yang merbahaya dan perlu ada langkah-langkah yang drastik untuk menyelesaikannya.

Peringkat yang ketiga ialah peringkat untuk menggerakkan masyarakat ke arah penyelesaian masalah tersebut. Untuk mencapai hasrat ini, Pelbagai kaedah penting di dalam sesebuah masyarakat digunakan seperti pendidikan, pemulihan dan pencegahan untuk mengatasi ataupun mengawal masalah tersebut sebelum ianya menjadi lebih serius lagi.

Peringkat yang terakhir di dalam kitaran hidup masalah sosial ini ialah peringkat muting ataupun senyap. Di peringkat ini masalah sosial tersebut telah dapat diselesaikan dan masyarakat telah mengakui akan kebenaran tersebut. Di peringkat ini semua usaha-usaha pemulihan dan pencegahan sudah tidak perlu dijalankan lagi. Namun demikian adalah penting sekiranya pemantauan dapat diteruskan dari masa ke semasa. Masa inilah usaha penguatkuasaan dan pencegahan diperlukan bagi menjamin keberkesanannya.

Peringkat pertama dan kedua telahpun kita lalui bertahun-tahun sehingga sudah menjadi biasa dengan penangihan dalam masyarakat kita. Kita kembali sedara apabila YAB Perdana Menteri mengumumkan usaha perangi dadah habis-habisan. Sejak itulah motivasi kita kembali meningkat dalam usaha tersebut. Maka secara otomatik kita berada, ke tahap ketiga, dimana kita harus menggerakkan masyarakat seluruhnya bagi membolehkan permasalahan ini dapat dihapuskan. Ianya tidak lagi terletak dibahu kerajaan atau agensinya sahaja, tetapi kepada setiap individu dalam masyarakat. Kita seharusnya tidak menjadi penyumbang kepada gejala penagihan dadah ini dengan membiarkan mereka terleka dalam pesona dunia dan akhirnya terperangkap dengan najis dadah ini. Mereka harus didekati dan diberi peluang untuk sedar akan bahaya yang menimpa diri mereka, agama, keluarga, masyarakat dan negara.

Faktor persekitaran dan pengaruh cukup kuat dalam membawa belia dalam kancah sosial najis dadah ini. Kita harus memandu individu dan masyarakat memahami serta menguasai persekitaran yang baik. Suasana persekitaran yang wujud mempengaruhi rangsangan nafsu dan akal untuk menghasilkan tingkah laku remaja. Pembabitan remaja dalam kegiatan yang berfaedah seperti kem ibadah, kursus kecemerlangan diri, sukan dan aktiviti sosial yang berkonsep keagamaan dan penerapan nilai -nilai murni mampu membantu remaja membina personaliti yang unggul.

Bagi masyarakat sekitar pula, kita harus memainkan peranan yang penting membantu golongan yang akan menjadi pemimpin masa depan ini. Di antara cara membantu mereka ialah dengan memahami psikologi remaja itu sendiri. Seterusnya menggunakan ilmu dan maklumat yang ada membantu remaja ke arah kehidupan yang sihat dan cemerlang dari sudut fizikal, minda dan jiwa. Faktor persekitaran terdiri daripada pengaruh rakan sebaya dan sistem sosial dalam masyarakat, sistem pendidikan, pengaruh keagamaan dan pengalaman hidup. Pengaruh keagamaan menentukan matlamat hidup dan nilai akhlak remaja. Pembentukan personaliti remaja adalah hasil daripada interaksi faktor genetik dalaman dan persekitaran sosial. Faktor dalaman merangkumi faktor baka keturunan daripada ibu bapa, aspek-aspek fizikal, fisiologi dan proses kognitif. Oleh itu dengan persekitaran yang baik dan kondusif akan membolehkan golongan muda membentuk jatidiri yang cemerlang.

Oleh kerana faktor-faktor yang mempengaruhi gejala ini, persatuan belia seharusnya berusaha untuk membaiki program-program yang mampu membendung faktor pengaruh tersebut. Kepimpinan persatuan mesti di beri latihan yang secukupnya agar mereka berupaya membaiki ketrampilan organisasi.

Sebagaimana kita ketahui, golongan yang terlibat dalam gejala dadah adalah generasi muda. Mungkin kerana kelemahan yang sedia ada semulajadi dalam diri mereka. Kekuatan dalaman mereka untuk menolak lemah dibandingkan nafsu untuk mencuba. Generasi muda harus faham bahawa menghidupkan jiwa pengorbanan dalam diri adalah suatu tuntutan. Kita boleh memilih untuk terus dibelenggu dengan jiwa santai, tiada perancangan hidup, kerdil cita-cita dan tandus dengan jiwa perjuangan. Atau, kita boleh memilih untuk menjadi manusia yang bercita-cita besar dan mempunyai idealisme perjuangan. Terpulanglah kepada kita membuat pilihan, namun kita harus ingat bahawa pilihan yang akan kita buat ini akan menentikan masa depan kita, masa depan bangsa kita dan masa depan negara kita

Presiden MBM menekankan betapa pentingnya kaedah kita mendekati para belia. Mereka harus dimerdekakan minda dan jiwa mereka dengan kekuatan ilmu dan rohani. Setiap belia itu mesti mempunyai jiwa pengorbanan. Beliau menyatakan bahawa “Jiwa pengorbanan harus mengajak remaja mengenang pengorbanan yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu untuk membebaskan negara dari belenggu penjajahan, ibu bapa yang bersusah payah membesar dan menyekolahkan kita supaya remaja bakal menjadi orang yang menyumbang kepada pembangunan negara dan umat. Akhirnya memperkasa bangsa dan umat menjadi orang yang berwibawa, dihormati, dirujuk ilmu dan kepakarannya.”[3]

Untuk kita mendekati mereka, kita harus tahu kemahuan dan kecenderungan mereka. belia merupakan golongan yang paling selesa melaksanakan aktiviti bersama rakan-rakan. Belia merasa seronok apabila dapat merasakan kebersamaan dalam kehidupan mereka. Dengan pendekatan yang baik, akan memberi ruang kepada para belia melihat model yang mereka boleh contohi.

Dalam Al-quran surah Yusuf ayat 53, Allah telah berfirman yang bermaksud :

Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh tuhan (maka terselamatlah ia daripada hasutan nafsu itu”.

Kita berharap dengan komitmen daripada seluruh masyarakat dapat digembelingkan, tiada lagi ruang untuk perniagaan najis dadah ini dalam negara kita. Usaha kesedaran yang hebat dilaksanakan ini tidak akan berjaya sekiranya penguatkuasaan undang-undang tidak dilaksanakan dengan berkesan. Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh YB Dato' Haji Zainal Abidin bin Haji Zin, Timbalan Menteri Pertahanan, Merangkap yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan, “sampailah masanya kita memerangi pengedar dadah dan bukannya penagih dadah. Untuk memerangi pengedar dadah, instrumen yang paling penting yang boleh digunakan adalah perundangan dan sistem kehakiman.[4]”. MBM menyokong sepenuhnya hasrat kerajaan untuk membenteras najis dadah ini dengan penguatkuasaan yang ketat. Kita tidak perlu bertolak ansur dengan mereka yang meraih keuntungan dari kesengsaraan manusia lain dan menghancur sesebuah negara tersebut. Tidak ada guna kita berupaya merubah minda sekiranya, penjual-penjual najis dadah berleluasa dalam negara ini. Usaha penguatkuasa ini mesti disokong dan semua pihak seharusnya memberi kerjasama bagi membolehkan mereka yang terlibat ini diambil tindakan undang-undang. Terdapat lima (5) Akta berkaitan salahguna dadah di dalam negara ini, iaitu :-
i. Akta Dadah Berbahaya 1952

ii. Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998

iii. Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985

iv. Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta)1988

v. Akta Racun 1952.

Kita perlu menyemak semula secara keseluruhan akta – akta tersebut agar kita dapat memastikan bahawa peruntukan – peruntukan undang – undang yang sediaada atau yang mungkin yang telah dipinda masih relevan dan tepat mengikut perubahan dan kehendak semasa. Semakan ini juga akan membantu penguasaan yang efektif dan menjamin agar matlamat negara bebas dadah ini tercapai.

Kita tidak boleh menuding jari kepada sesiapa apabila kita menghadapi masalah penagihan dadah ini. Sikap hidup semakin memetingkan material dan hedonisma ini memudahkan para belia terjerumus dalam kancah masalah sosial tersebut. Selain penguatkuasaan undang-undang, kita harus mengembalikan hidup bermasyarakat, sering mengenali, kasih-mengasihi, bantu-membantu diantara satu sama lain .Jadikan jiran kita sebagai keluarga kita sendiri. Jangan kita merasa marah sekiranya ada jiran menasihati kita, mungkin nasihat tersebut akan membantu kita membendung perbuatan buruk terjadi kepada anak keluarga kita.

Membina masyarakat yang gemilang harus bermula dari rumah kita sediri. Amat bertepatan dengan seruan Presiden MBM kepada ibubapa, didiklah anak-anak kita untuk mereka berjaya pada masa akan datang. Suasana sekarang pastinya berbeza pada masa akan datang. Hanya dengan ilmu dan pegangan kuat pada ajaran agama sahaja yang mampu menjadi benteng ketahanan diri dan jiwa anak-anak kita. Marilah bersama-sama kita berdoa untuk kesejahteraan anak-anak dan generasi pelanjut ini. Ibarat pepatah mengatakan ‘ hina besi kerana karat, hina manusia kerana ceteknya ilmu dan lemahnya taqwa” [5]

Azizuddin Ahmad, Exco Majlis Belia Malaysia (MBM)


[1]HarianMetro http: //www.hmetro.com.my/Current_News/HM/Sunday/Minda/20041121102206 / Article/indexs_html

[2] Orang Muda: Fahami psikologi remaja, pandu ke arah hidup sihat, Berita Harian,

[3] Ucapan perasmian, YAB Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo, Presiden, Majlis Belia Malaysia (MBM),“Belia Benci Dadah”, Lenggong, Perak, 22 januari 2005 (ahad)

[4] YB Dato' Haji Zainal Abidin bin Haji Zin, Timbalan Menteri Pertahanan, Merangkap yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan, ucapan perasmian bengkel undang-undang Penguatkuasaan Dadah peringkat kebangsaan.

[5] Ucapan perasmian, YAB Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo, Presiden, Majlis Belia Malaysia (MBM),“Belia Benci Dadah”, Lenggong, Perak, 22 januari 2005 (ahad)

No comments: