Tuesday, September 02, 2008

Andai Ku Tahu....Ramadhan Al Mubarak

Ramadhan datang lagi membawa seribu rahmat. Bulan ini membawa kebaikan yang banyak kepada mereka yang istiqamah dalam menunaikan ketaatannya kepada Allah s.w.t. Bulan penuh rahmah ini , kita tidak seharusnya ketinggalan mempertingkatkan 'amal kepada Tuhan dan kebajikan kita sesama insan. Pada bulan ini , bukalah ruang dalam hati kita untuk memaafkan sesiapa yang telah menyakiti kita, dan pohon ampunan daripada Allah s.w.t atas keterlanjuran kita. Dan berusahalah kita memohon maaf sesama kita.

Saya terdengar lagu dari satu kumpulan yang menyanyi sebuah lagu "andainya ku tahu", dengan meneliti liriknya, menimbulkan kesedaran dan keinsafan. Walaupun ianya mungkin menyeronokkan, tapi sebenarnya lagu ini mampu mengalunkan minda kepada suatu kesedaran atas tindakan kita yang lalu. Memang ada dalam ayat Al Quran, menyatakan ada kumpulan manusia yang meminta diberikan peluang untuk kembali kebumi, selepas dimasukkan dalam neraka, akan ber'amal ibadah sepenuh masa. Tiada lagi kemaksiatan. Tiada noda dan dosa. Namun bukan semudah itu.

Allah s.w.t telah memberikan kita cukup masa dengan umur yang ada pada kita untuk melakukan kebajikan, kebaikan, sujud dan rukuk pada NYA. Namun atas tipu daya dunia, dengan godaan syaitan dna hawa nafsu, kita dilalaikan dengan tanggungjawab itu. Maka kita hanyut dengan keduniaan.

Kerana itu, bulan Ramadhan datang untuk memberi kita peringatan yang jelas. Marilah kita tingkatkan 'amalan, kebajikan, kebaikan tinggalkan fitnah, adu domba, kegilaan mengejar kemewahan sehingga kita mengambil hak orang lain, tinggalkan politik penting diri sendiri dan jauhkan diri dari perkar-perkara yang boleh merosakan iman dan taqwa.

Ingatan Allah s.w.t sentiasa ada, cuma kepada mereka yang diberi fikiran, mata dan hati yang ikhlas dan terbuka. Semoga Allah s.w.t memasukkan kita dalam golongan orang-orang yang sedemekian. Selamat berpuasa, Ramadhan Al Mubarak 2008.

No comments: