Kemerdekaan sesebuah negara cukup bererti kepada rakyatnya. Pada Tanggal 31 Ogos 1957, negara mengistiharkan hari kemerdekaan bagi menandakan kebebasan kita dari penguasaan penjajah. Walaupun perjuangan memerdeka negara tidak sehebat pertumpahan darah seperti negara-negara lain, namun rentetan salur galur perjuangan tidak lepas dari keringat, darah dan airmata. Jika kita lihat sepintas lalu, tarikh-tarikh keramat negara-negara jiran kita seperti Thailand (1238 ), Cambodia (1953 ), Vietnam(1945 ), Indonesia (1945), Singapura (1965) ?, Burma(1948), Laos (1949). Menarik kita melihat bahawa kemerdekaan kita lebih lambat dibandingkan dengan negara-negara tersebut, tetapi dari segi persiapan kepimpinan politik dan pentadbran, polisi, sumber tenaga kerja, peningkatan ekonomi dan budaya serta nilai terbina secara lebih tersusun dan boleh dibanggakan perkembangan. Jika itu perbandingannya, kita tidak menafikan bahawa kita sudah melangkah kehadapan berbanding dengan kebanyakan negara yang ada.
Bagi generasi muda, kemerdekaan merupakan hari kita memikirkan semula peranan kita sebagai warganegara sejati dalam mempertahankan nilai dan jatidiri sendiri. Walaupun kita tidak dapat lari daripada konsep dan prinsip amalan kebebasan yang berada dipuncak globalisasi, namun kita tidak dapat lari dari kemurnian paksi hidup dalam nilai dan agama. Nilai dan agama sentiasa bersandar dengan kekuatan bangsa dan negara tersebut. Sebab itu kita melihat negara seperti Amerika, United Kingdom juga memaksa negara mereka dalam kerangka agama dan nilai. Segala tindakan mesti juga dijustifikasikan dengan agama dan nilai. Itulah fitrah.
Memahamkan diri kita berkaitan dengan ini, kita mesti berupaya menilai persekitaran dan isu yang berlaku dalam negara dan dunia. Agenda globalisasi juga merupakan agenda pembaratan yang mempunyai nilai penjajah. Pertembungan konsep dan nilai mesti diukur dengan faktor kekuatan kita. Kita tidak seharusnya meruntuhkan apa yang kita ada, sekadar melihat apa yang ada di tangan orang lain lebih baik umpama ” membuang air di tempayan, apabila mendengar guruh dilangit”. Penilaian secara efektif mesti dilakukan dan ini tanggungjawab besar yang sedang digalas oleh generasi baru belia di Malaysia.
51 tahun merdeka, tidak ada makna, sekiranya kita, tidak tahu menilai perjuangan bagaimana keringat, darah dan airmata dalam mendapatkan kembali tanahair ini. Untuk melakukan atau menuntut perubahan dasar mestilah berhati-hati. Ini bukan suatu experimen. Ianya boleh meruntuhkan apa yang telah kecapi selama ini. Ini juga bukan bermakna kita harus undur kebelakang atau tidak berubah, tapi sedar akan tanggungjawab kita ini juga akan memberi kesan kepada generasi kita yang akan datang.
Oleh kerana itu, kerajaan mesti berusaha keras bagi memastikan generasi belia dapat memahami dan menghayati kemerdekaan. Pertama, kembalikan semula semangat patriotism melalui apa saja program seperti budaya, sukan, latihan, media, iklan, suara, kepimpinan sepanjang masa, bukan sekadar secara bulanan, atau saat laungan merdeka sahaja. Sekiranya cintakan alam sekitar atau haiwan boleh di terjemahkan, maka cintakan negara mestikan diterjemahkan secara sistematik kepada generasi muda dan kementerian , agensi dan pihak swasta tidak seharusnya ragu-ragu bersama-sama menjayakannya. Kedua, pendedahan sejarah mesti secara sistematik, jelas, tegas, senang dibaca, tempat yang sesuai dan ditempat awam, agar kita dapat mendidik masyarakat dan khasnya generasi muda secara santai dan berterusan. Ketiga, sekiranya ada yang pernah berkata “berikan aku sepuluh pemuda, biarku gegar dunia ini” merujuk bahawa kekuatan agama, bangsa dan negara itu terletak ditangan dan tanggungjawab generasi belia. Kemerdekaan jiwa dan pemikiran generasi belia mesti dipupuk dari awal. Perbanyakan latihan dan program dengan NGO dan persatuan dari berbagai sudut samada melalui keagamaan, budaya, cintai alam sekitar, bersukan dan program pertukaran belia antarabangsa. Jadikan mereka sebagai ”partner in nation building” bukan sekadar mengisi tempat kosong untuk melaung kemerdekaan. Biarkan mereka melakar usaha dalam pembentukan jatidiri dan pupuk minat dan semangat mempertahankan tanahair dari usaha globalisasi yang semakin mengganas.
Kemerdekaan negara juga memerlukan kemerdekaan minda, jiwa dan budaya. Sekiranya semuanya masih lagi dalam perkiraan barat atau orang lain lebih baik, menjadikan kita terasa lemah dan mudah mengalah dari mencipta sejarah dan kecemerlangan kita sendiri. Bukan bermaksud kita harus membuang semua yang baik dari sumber tamadun orang lain, tetapi kita harus bersikap selektif dan kreatif dalam menerima dan berusaha sesuatu untuk manafaat masyarakat lain. Persekitaran dan insentif kerajaan mestilah bersesuaian dengan usaha kita kearah kecemerlangan. Suatu bangsa datau negara itu akan dihormati dan dijadikan contoh tauladan sekiranya kita bangga dengan apa yang kita ada.
Inilah tanggungjawab kita, generasi belia masa depan negara.
No comments:
Post a Comment