Thursday, August 20, 2009

1 MALAYSIA : MENDALAMI PERSPEKTIF RAKYAT

"The leader is one who mobilizes others toward a goal shared by leaders and followers. ... Leaders, followers and goals make up the three equally necessary supports for leadership."
— Gary Wills
Certain Trumpets: The Call of Leaders


YAB Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak, menyatakan secara tegas bahawa ”Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, sebagai memulakan era baru kepimpinannya dalam menganjak paradiqma rakyat. Kita harus memulakan langkah baru, setelah berhadapan dengan kecelaruan politik serta kekusutan maklumat sehingga mengganggu keamanan, keharmonian serta perpaduan rakyat Malaysia. Beliau menyedari kekuatan bangsa Malaysia dengan menyatakan;”`Malaysia unik kerana kepelbagaian kita dan berharap kita dapat mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian ini yang selama ini menjadi kekuatan kita dan akan kekal sebagai bekalan terbaik kita untuk masa hadapan”

Dalam Islam, teras keperluan kita hidup saling memahami dalam masyarakat yang berbilang kaum diperkukuhkan dengan saranan dari Allah SWT "Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dan seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenali" (al-Hujurat 13).

Perpaduan memang telah menjadi ajaran pokok dalam Islam seharusnya menjadi prioriti dalam pembinaan bangsa Malaysia. Dan kita harus akui ianya bukanlah suatu perkara yang mudah tetapi kepelbagaian ini seharusnya dapat mengujudkan suasana fa’ stabiqu ‘l khayrat – perlumbaan secara sihat mengejar kebajikan, melakukan kebaikan bukan mempertajamkan lagi al’adawata wa’baghda –perseteruan dan kebencian.

YAB Perdana Menteri menggariskan 8 nilai dalam menjadikan SATU MALAYSIA ialah Budaya Kecemerlangan, Ketabahan, Penerimaan, Pendidikan, Intergriti, Kesetiaan, Kerendahan hati dan Meritokrasi. Nilai ini bukan sahaja untuk dihayati, malah beliau dan kerajaan baru ini sedang melakukan perubahan besar dengan nilai dasar pentadbiran dan perlaksanaannya.

Nilai-nilai ini bukanlah suatu yang sukar untuk dihayati serta dijadikan dasar dalam pembentukan generasi belia. Ianya juga bukanlah suatu yang janggal untuk dijadikan budaya sesuatu bangsa. Namun, ianya tidak seharusnya diambil mudah serta harus ditanam kepercayaan dalam diri akan nilai-nilai ini sebenarnya berupaya membangunkan belia itu sendiri dan seterusnya nilai-nilai tersebut dapat dijelmakan dalam pembinaan negara. Apakah generasi kita mampu dan bersediakah kita?

Malek bin Nabi pernah menyatakan bahawa usaha perubahan sosial, dalam kaitannya dengan nilai-nilai, tingkah laku, kecenderungan dan hubungan, bertujuan pada akhirnya untuk menguatkan struktur sosial dan institusinya. Kedua-duanya bertugas mengatur hubungan, membantu memenuhi perlbagai keperluan serta merealisasikan pertumbuhan menuju kemajuan yang gemilang.

””Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional. Kita akan rapatkan hubungan Rakyat dan Kerajaan dari dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik. Dalam hal ini, potensi golongan anak muda akan kita bangunkan setinggi-tingginya. Kita percaya merekalah generasi pewaris bakal pendidik, doktor, peguam, akauntan, saintis, jurutera, tokoh perniagaan, cerdik pandai dan saf pemimpin masa depan. Dalam sedutan ucapan YAB Perdana Menteri, kita dapat rasakan bagaimanakah rasa keperihatinan beliau dan kerajaan yang ada sekarang terhadap generasi baru. Rasa ini harus juga dipertanggungjawabkan kepada seluruh kepimpinan di semua peringkat agar bersedia memikul beban menyedarkan masyarakat akan persediaan yang perlu ada /miliki bagi mereka .

HARAPAN

Dalam usaha merealisasikan 1Malaysia, kita juga harus juga melihat kembali apakah harapan rakyat dengan perubahan kepimpinan sekarang dan mendokong 1Malaysia ini.

Kepimpinan – Perubahan dalam kepimpinan adalah suatu perkara biasa sesebuah negara. Kepimpinan yang mempunyai visi dan misi adalah adalah penting bagi memandukan arahtuju masyarakat dalam negara tersebut. Apabila kepimpinan mengambilalih, kita mesti merasakan perubahan yang akan dilakukan. Slogan ”tradisi membela rakyat” terus menjadi agenda penting, yang mana usaha perlu merata. Setiap kaum perlu dibela bukan lagi berdasarkan parti tetapi sudah menjadi tanggungjawab kerajaan sepenuhnya agar tidak ada lagi yang merasa dipinggirkan.

Kecekapan. Memang benar ketidakcekapan kepimpinan dalam pentadbiran akan mengganggu kecemerlangan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat. Dalam masa yang sama ”human capital” dalam pentadbiran kerajaan tidak boleh lagi melakukan kerja sambil lewa. Kecekapan kerajaan masih tertakluk kepada petugas-petugas yang telah diamanahkan. Dengan kenaikan gaji dan sebagainya, masyarakat perlu dirasai layanan yang professional, cekap, adil, cepat dan berkualiti. Mereka meminta agar kita mesti setanding dengan negara-negara maju dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat.

Konsultasi.. Dalam proses demokrasi, konsultasi sudah menjadi budaya dalam melaksanakan sesuatu keputusan. Apatahlagi dalam dunia yang serba terbuka, informasi bukan lagi milik peribadi tetapi perlu dikongsikan dengan rakyat yang terlibat dengan sebarang dasar yang dibentuk. Masyarakat sudah merasakan perlu ada perbincangan atau perbahasan yang terbuka atas sesuatu polisi atau dasar yang hendak dibuat dan dilaksanakan. Mereka perlu tahu kepentingannya kepada sasarannya.

Perpaduan. Perpaduan sering menjadi pokok utama dalam kestabilan dan keamanan sesebuah negara. Masyarakat tidak akan merasainya sekiranya kita sering dihujani dengan rusuhan, pergaduhan, persengketaan yang tidak sudah-sudah. Kita ingin melihat setiap kaum mempunnyai tanggungjawab masing-masing dalam memperkukuhkan identitinya, namun dalam sebuah negara yang multikultural ini, memahami budaya, adat, kepercayaan serta bahasa menjadi perkara penting bagi melanjutkan usia perpaduan yang ada dalam masyarakat kita sekarang. Apakah kita lupa, tolenrasi diantara kaum sejak merdeka, telah menyelamatkan negara kita dari kehancuran akibat persengketaan yang berpanjangan?

Intergriti – bertanggungawab. Isu ini seringkali dikaitkan dengan perjawatan dalam kepimpinan. Namun begitu ianya merangkupi seluruh jentera kerajaan. Soal ketelusan, soal kejujuran, soal rasuah, soal tanggungjawab, soal penguatkuasaan undang-undang, soal pembahagian peluang perniagaan, perkongsian ekonomi, polisi yang menguntungkan kelompok bukannya rakyat, semuanya ini bermain dalam pemerhatian rakyat. Perkara ini harus ditangani dengan bijaksana dan memerlukan ”political will” bukan sekadar ”lip service”, kesungguhnya ini yang mahu dilihat dan dirasai oleh rakyat keseluruhannya. Perubahan ini sudahpun mula berlaku, dan telah melangkah perlahan-lahan kehadapan. Perlaksanaan dan penguatkuasaan yang lemah akan merupakan perosak polisi dan undang-undang yang baik. Kita memerlukan kompas moral untuk memandu kapal dalam pelayaran ke masa depan.

Kestabilan dan keamanan yang berterusan. Masyarakat inginkan persefahaman dipertingkatkan dan ekonomi dpulihkan. Ekonomi negara perlu diagihkan secara saksama dan dirasai. Budaya hormat-menghormati, kerjasama, tolenrasi dan teras nilai seumpama ini diperlukan demi menjamin kestabilan negara. Politiking yang keterlaluan juag memualkan rakyat, yang benar tidak lagi dilihat benar, yang salah juga disumpah menjadi benar, maka hilang pertimbangan dan rosaknya emosi. Fitnah tidak seharusnya dibiarkan menular, kerana hancurnya sesuatui bangsa itu akibat fitnah. Benarlah analisis faktor penyebab keruntuhan Andalusia sebahagian ialah perpecahan, fitnah, saling menganiaya antara satu sama lain, meminta pertolongan orang luar (musuh) .

Sekiranya faktor-faktor harapan ini dapat diusahakan dan dilaksanakan secara berkesan, kerpercayaan rakyat akan kembali pulih. Ternyata penunjuk awal kepada perubahan yang dilakukan dan misi 1Malaysia mula menunjukkkan tanda positif dikalangan rakyat perlbagai kaum. Baru-baru ini, Merdeka Centre, telah membuat kajian menunjukkan 65% rakyat Malaysia percaya akan kepimpinan YAB Perdana Menteri akan melakukan perubahan. Tanda-tanda awal ini akan memberi lagi keyakinan kepada kita bahawa masyarakat sudah mula kembali matang dan tidak lagi dikawal oleh emosi yang melulu. Mereka mahu perubahan dan sudah ada kerja-kerja yang serius ke arah itu.

CABARAN-CABARAN

Namun begitu, terletak dibahu generasi baru , cabaran-cabaran yang menguji generasi baru terutamanya dalam arus negara yang sedang menuju kemajuan;

Bagi mengujudkan generasi baru yang mempunyai impian yang sama (shared dream). Impian untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang aman, bersatupadu, selamat, bertolenrasi dan bekerjasama demi negara. Impian ini harus dikongsi perlaksanaanya. Tidak ada maknanya kita tidur sebantal, namun mimpi lain-lain. Kita tidak mampu berjalan lebih jauh lagi sekiranya, negara dalam keadaan tidak stabil, kucar kacir. Sejarah telah membuktikan bahawa tidak ada sebuah negara akan berjaya sekiranya negara itu tidak stabil.

Membina generasi yang mempunyai jatidiri yang tinggi, jiwa yang merdeka dari belenggu keburukan budaya barat yang bebas nilai. Mempunyai jatidiri tidak membawa erti ketinggalan arus kemodenan, ianya sebenarnya mengikat kita dengan nilai yang sememang sesuai dengan citarasa budaya dan nilai masyarakat kita. Kita lihat negara seperti Jepun dan China yang sentiasa menjunjung tinggi akan jatidiri mereka dan terus maju dalam kemodenan.

Menanam semangat patriotisme yang tinggi. Semangat ini perlu ada dalam jiwa sanubari generasi baru. Semangat ini juga mampu membendung cabaran-cabaran yang boleh menggugat kestabilan serta keamanan dalam negara.

Mengurangkan keterlibatan dalam gejala sosial yang serius. Keterlibatan mereka dalam penyalahgunaan dadah, lumba haram (mat rempit), seks bebas, ketagihan alkohol (alcoholism) dan lain-lain. Keterlibatan mereka dalam gejala sosial akan membantutkan pembangunan insan dalam negara dan membawa kelemahan dalam bangsa tersebut. Untuk menyatakan kita mampu ke arah ”zero problem” , adalah sesuatu mustahil tetapi mengurangkannya adalah usaha yang berterusan dan usaha yang sungguh-sungguh daripada generasi baru sen itu sendiri.

Membina keyakinan dan daya saing yang tinggi di kalangan generasi baru. Mereka harus memfokuskan potensi mereka dan meningkatkan peluang serta memahami cabaran yang akan mereka hadapi dalam abad ke 21. Mereka harus mampu melonjakkan potensi diluar lingkuan biasa dan lebih kreatif dalam sesuatu usaha agar dapat menyaingi arus globalisasi. Dalam buku “The World is Flat”, oleh Thomas L Friedman, kita tidak boleh lagi meminta keterlaluan bantuan dari kerajaan sahaja, kerana dunia yang semakin mengecil dan telah membuka laluan pada persaingan yang lebih hebat pada masa akan datang.

Merapatkan jurang sesama kita ~ jurang antara pelbagai bangsa dan agama, jurang antara generasi bandar dan luar bandar, jurang antara cita rasa yang berada (haves) dan yang kurang berada (have-nots), jurang antara persepsi dan realiti dan jurang antara pelbagai tahap pemikiran dan pencapaian diri.

ARUS PERUBAHAN

Kita bersyukur dengan kepimpinan YAB Perdana Menteri memudahkan lagi pembudayaan intergriti dikalangan generasi baru. Kita harus belajar menilai yang baik, bukan mendengar fitnah dan merosakkan akal budi kita sendiri. Kita harus berupaya menjadikan diri kita sebaga contoh terbaik bagi orang lain. Kita harus memulakan dengan diri kita sendiri. Intergriti tidak mampu dibudayakan sekiranya ianya tidak bermula dengan diri kita sendiri. Kita yakin pendekatan kepimpinan sekarang berdasarkan ”Tasharruf al imam ala alraiyyah manuth bil mashlahah (Seluruh kebijakan dan tindakan pemimpin terhadap rakyat haruslah bersumberkan kepada kepentingan mereka), sudah pasti kita akan mampu mengharungi cabaran-cabaran semasa dan menjadikan kita setanding dengan kualiti negara-negara maju yang lain.

Pendekatan yang di ambil oleh YAB Perdana Menteri dalam kaedah pentadbirannya, merupakan pendekatan rakyat, merasai denyut nadi rakyat dan mengamalkan konsep “listening gorverment”. Teringat kita akan kisah Nabi Sulaiman (a.s), yang mendengar suara semut sewaktu tenteranya sedang berjalan, dan meminta mereka berhati-hati agar jangan terpijak akan semut itu. Ini menunjukan bahawa makhluk yang sekecil itu, didengari suaranya oleh Nabi Sulaiman (a.s). Itulah harapan YAB Perdana Menteri agar pemimpin dapat menghayati prinsip ini dan menjadi jurubicara suara nurani rakyat bagi memudahkan kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya.

Kita yakin dan percaya permulaan yang baik akan mendatangkan hasil yang baik. Pendekatan dari kepimpinan bermula dengan langkah yang baik dan harus dituruti dengan penuh dedikasi bagi membudayakan intergriti dalam segala sudut kehidupan. Sekiranya kita mampu mengubah diri kita, kita akan dapat melihat impian sebuah negara yang makmur, aman, stabil, bersatu dan penuh intergriti.

Kita harus berani berubah sikap negatif kepada positif. Tidak ada sesuatu yang kekal melainkan amal baik. Setiap amalan yang baik akan sentiasa dikenang orang. Walaupun ianya tidak mendatangkan keuntungan dalam bentuk kebendaan, tetapi ianya akan memberi kepuasan dan ketenangan dalam kehidupan kepimpinan dan rakyat keseluruhannya.

Hai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.
(Al Hujurat: 6)


No comments: