Thursday, August 20, 2009

BAGAIMANA KAUNSELING MEMBANTU MEMBANGUNKAN MODAL INSAN

Pendahaluan

Dalam kehidupan ini manusia memerlukan diantara satu lain. Samada apa bentuk rupa, kepercayaan, warna kulit, dan adat budaya berlainan, namun secara fitrahnya manusia berinteraksi diantara mereka dalam berbagai cara. Komunikasi adalah cara mudah bagi mengeratkan lagi hubungan sesama manusia. Banyak perkara dapat diselesaikan melalui komunikasi, segala persepsi yang salah dapat diuraikan dan seterusnya dapat membantu membina prasarana dan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan kehidupan diteruskan dengan aman dan saksama.

Modal insan dalam sesebuah negara adalah penting bagi memastikan kejayaannya. Setiap negara yang bertanggungjawab mahu melihat setiap rakyat dapat memaksimakan potensi diri mereka dalam mengharungi cabaran-cabaran semasa. Peluang diterokai dan dibuka seluas-luaskan kepada rakyat dalam mengisi ilmu serta menggunakannya pengetahuan dalam membina kehidupan yang lebih baik. Dalam masa yang sama, mereka mampu menjadikan masyarakat yang menghormati serta membantu diantara satu sama lain dan yakin akan kedaulatan negara dengan mematuhi undang-undang negara.

Bagaimana ianya berkaitan dengan kaunseling? Menurut definasi mudah kaunseling ialah – ”Suatu proses perhubungan menolong yang sistematik berasaskan prinsip psikologi. Ia dijalankan oleh kaunselor profesional bagi membantu perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh”.

Untuk pemahaman dengan lebih jelas lagi tentang definisi kunseling, dipetik tiga definisi yang telah dibuat oleh tiga tokoh iaitu Blocher (1974); Corey (1977) dan James (1982). Blocher (1974) mendefinasikan kaunseling sebagai suatu proses untuk menolong individu supaya ia menjadi lebih sedar tentang dirinya dan bagaimana ia dapat bertindak balas dalam alam persekitarannya. Corey (1977) sepertimana dengan Blocher menekankan tentang proses di mana seorang klien diberi peluang untuk menerokai aspek diri dan kehidupannya yang menimbulkan masalah pada dirinya. Akhir sekali James (1982) pula mendefinasikan kaunseling sebagai suatu proses pembelajaran yang lebih menekankan kepada proses membantu individu untuk mencapai kehendaknya, membimbing dan menilai potensi yang ada pada diri individu. Sebagai rumusan, kaunseling adalah proses pertolongan yang profesional yang bertujuan membantu individu memahami dirinya dan alam sekelilingnya.

Ianya bukan bentuk nasihat, ianya memerlukan komunikasi dua hala. Komunikasi bentuk inilah yang memberi ruang untuk individu tertentu dapat melihat aspek kelemahan dan mencari jalan terbaik untuk dirinya melakukan perubahan. Namun demikian kita, tidak boleh lari dari perubahan yang berlaku disekitar kita. Perubahan yang dibentuk dari arus globalisasi dan persaingan yang semakin mencabar. Ianya juga mengugat nilai, adat budaya dan pegangan agama kita. Perubahan ini sebenarnya memerlukan kita menggunakan segenap kekuatan pemikiran, emosi, spiritual, semangat bagi menghadapinya.

Cabaran
Dalam abad ini kita dihadapi dengan berbagai cabaran-cabaran yang menggugat tingkahlaku manusia. Cabaran-cabaran mungkin datang dari luar dalam dalam, tetapi oleh kerana kelemahan yang ada pada kita, ianya mudah mempengaruhi kehidupan semasa kita. Cabaran-cabaran seperti;

Peningkatan kualiti hidup secara keseluruhannya mempengaruhi pemikiran dan perubahan sikap. Kita didorong dengan persaingan yang kadangkala memenatkan. Apatahlagi persediaan kita dahulu tidak lagi relevan dalam persaingan sekarang, dan ianya memerlukan tambahan ilmu, perkongsian maklumat dan persefahaman dalam melakukan kerja kita. Kita dilengkapi dengan teknologi yang semakin memberi peluang kepada semua orang (stakeholders) menilai prestasi dan kualiti perkhidmatan dan kerja yang diperlukan. Dan kita seharusnya peka dengan kerja dan perkhidmatan yang berkualiti.

Peningkatan bebanan kerja dipejabat atau tempat bekerja disebabkan persaingan dan perkembanga ekonomi.. Peningkatan kualiti di tempat kerja yang perlu dipatuhi oleh semua pekerja. Permintaan kepada perkhidmatan dan barangan yang berkualiti telah merubah gaya kerja yang sistematik. Kerja yang semakin banyak, dan diikuti pengurangan kos termasuk mengambil pekerja, menyebabkan masa yang diperuntukkan lebih dari biasa. Kita semakin terhimpit diantara rehat dan bekerja.

Dalam masa yang sama, perubahan masa juga mengubah gaya hidup semasa. Generasi baru berbeza cara mereka dibesarkan dengan generasi dahulu. Mereka didedahkan dengan teknologi baru, fast fesyen, fast food, internet, cyber games, handphone dan lain-lain. Mereka juga dipengaruhi oleh iklan dan ”peer group” yang sentiasa bersaing mempamerkan kemewahan. Gaya hidup ini sentiasa memberi tekanan kepada generasi muda untuk melawan nafsu, kebebasan, keterbatasan nilai. Ada diantara mereka yang cuba mendapatkan tempat bersama golongan ini akan sedaya upaya melakukan apa sahaja termasuk jenayah, pelacuran, menjual dadah serta mencuri. Akhirnya tabiat tersebut menjadi kelakuan menjadi lumrah dan kesannya kepada mereka cukup mendalam di jiwa dan pemikiran mereka. Generasi baru ini bukan sahaja terlibat dengan perbuatan tersebut malah perubahan sikap dan penukaran jantina, homoseksual juga semakin bertambah dan kerosakan ini meruntuhkan nilai-nilai dalam masyarakat di negara ini.

Masalah rumahtangga dan keruntuhan institusi keluarga. Ianya disebabkan perubahan gaya hidup, persaingan, serta kos kehidupan yang semakin tinggi. Sifat dan nilai kekeluargaan semakin terhakis. Ibu bapa yang mengejar rezeki sehingga hilang tangggungjawab terhadap anak-anak, suami kepada steri dan sebaliknya. Akhirnya penceraian ibu bapa turut melibatkan psikologi yang besar kepada pembesaran anak-anak. Sebanyak 75,299 Kes Penceraian Rumahtangga yang direkodkan sepanjang tahun 2008 dan 2007 termasuk kes tertunggak tahun-tahun sebelumnya. Rosaknya institusi keluarga juga memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Dengan mudahnya generasi muda terjebak dalam gejala sosial juga merugikan modal insan dalam sesebuah negara tersebut. Keterlibatan mereka dalam gejala sosial, dadah, pergaulan bebas dan lain-lain turut memusnahkan nilai-nilai murni dalam masyarakat tersebut. Sepanjang 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan. Angka itu meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes tahun lalu yang menyaksikan seramai 3,725 pelajar ditahan. Penglibatan mereka dalam jenayah dalam awal tahun akan merumitkan lagi proses pembesaran dan kesan sosial yang lebih merbahaya.

Kaunseling dan Peranannya

Bagaimana kaunseling dapat memainkan peranannya dalam membina modal insan dalam negara;
1) Memberi dan menyediakan program psikologi untuk individu membuat perubahan dengan mempertingkatkan keupayaan mengurus emosi, tingkah laku dan pemikiran.
2) Mengenal dan memahami diri sendiri tentang kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri sendiri.
3) Membuat penyelesaian peribadi, sosial, emosi dan kerjaya dengan persekitaran di dalam dan di luar pejabat.
4) Mendedahkan bakat, minat dan kelebihan-kelebihan diri yang terpendam untuk meningkatkan konsep kendiri.
5) Berfikir secara rasional dan bertindak secara berkesan di dalam membuat keputusan untuk mengatasi persoalan-persoalan yang dihadapi.
6) Membentuk tabiat membiasakan belajar dengan baik dan berkesan.
7) Membentuk ciri-ciri akhlak yang baik untuk menjadi individu yang berintegriti.
8) Merancang masa hadapan yang sesuai dengan kemampuan dan matlamat hidup.

Kesemua peranan kaunseling yang digariskan diatas, memberi impak besar dalam mengembalikan kekuatan modal insan dalam negara. Dengan permasalahan yang timbul berkaitan dengan cabaran-cabaran tersebut perlu diatasi dengan sebaik mungkin. Kerajaan tidak lagi dapat mengawal rakyat secara autokratik tetapi dengan mendidik serta memandu kehidupan mereka dengan displin nilai kehidupan yang sebenar.Sifat dan nilai yang mulia seperti bertanggungjawab, bekerjasama, bertolak -ansur, hormat-menghormati, bertimbangrasa, maaf-memaafi, tolong-menolong, berbudi bahasa mestilah dijadikan budaya dalam masyarakat kita. Nilai seumpama akan hilang sekiranya kita tidak memahami erti kehidupan dalam sesebuah negara yang bebas dan berdaulat.

Satu Malaysia yang telah digagaskan oleh YAB Perdana Menteri, memberi lonjakan baru dalam menangani perubahan negara. Dari individu, masyarakat, perkhidmatan kerajaan dan liberalisasi ekonomi, akan membawa dimensi baru dalam mencorak masyarakat Malaysia menghadapi cabaran yang semakin mencabar. Pendekatan yang di ambil oleh YAB Perdana Menteri dalam kaedah pentadbirannya, merupakan pendekatan rakyat, merasai denyut nadi rakyat dan mengamalkan konsep “listening gorverment”. Teringat kita akan kisah Nabi Sulaiman (a.s), yang mendengar suara semut sewaktu tenteranya sedang berjalan, dan meminta mereka berhati-hati agar jangan terpijak akan semut itu. Ini menunjukan bahawa makhluk yang sekecil itu, didengari suaranya oleh Nabi Sulaiman (a.s). Itulah harapan YAB Perdana Menteri agar pemimpin dapat menghayati prinsip ini dan menjadi jurubicara suara nurani rakyat bagi memudahkan kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya.

Kepekaan kerajaan dalam menangani permasalahan manusia melalui menubuhkan pusat kaunseling atau pakar kaunseling di bahagian sumber manusia sebagai langkah yang bijak dalam mendidik dan membimbing mereka. Mereka ditempat-tempat yang strategik dan menjalankan aktiviti mereka mengesan individu yang memerlukan kaunseling. Mereka tidak lagi menunjukkan prestasi yang baik, sering melakukan kesilapan, cepat berputus asa, sering menyalah orang lain, tiada semangat yang tinggi, sentiasa merasa rendah diri, kesemuanya tanda-tanda mereka mereka memerlukan bimbingan. Mereka tidak seharusnya dihukum secara total tetapi diberi peluang memperbaiki diri dan melakukan perubahan. Dengan itu, ianya dapat mengurangkan permasalahan secara keseluruhan dan mampu meningkatkan keupayaan mereka dalam membina kekuatan modal insan itu.

Begitu juga dengan peranan yang dimainkan oleh persatuan dan NGO, banyak menyediakan ruang-ruang komunikasi dan motivasi yang boleh sedikit membantu permasalahan masyarakat dalam negara. Peranan persatuan dan NGO ini sebanyak sedikit dapat meringankan beban kerajaan mengatasi permasalahan dalam masyarakat. Dengan bantuan mereka menyalurkan mendengar permasalahan, memberi bimbingan, dan juga meningkatkan motivasi serta menyalurkan saluran bantuan yang diperlukan akan mengurangkan tekanan dalam masyarakat keseluruhanya.

Penutup
Kita yakin dan percaya permulaan yang baik akan mendatangkan hasil yang baik. Pendekatan dari kepimpinan bermula dengan langkah yang baik dan harus dituruti dengan penuh dedikasi bagi membudayakan intergriti dalam segala sudut kehidupan. Sekiranya kita mampu mengubah diri kita, kita akan dapat melihat impian sebuah negara yang makmur, aman, stabil, bersatu dan penuh intergriti. Kaedah kaunseling berorientasikan kognitif, efektif dan tingkahlaku sekiranya dijadikan cara untuk menyelesaikan permasalahan rakyat, mendengar dengan baik keluh resah mereka, membuka peluang kepada mereka, membimbing kaedah terbaik untuk mengurus masalah, kita yakin dan pasti kita mampu mempertingkatkan potensi dan motivasi rakyat dan seterusnya menjadi modal insan yang terbaik untuk pembangunan negara.

Kita harus berani berubah sikap negatif kepada positif. Tidak ada sesuatu yang kekal melainkan amal baik. Setiap amalan yang baik akan sentiasa dikenang orang. Walaupun ianya tidak mendatangkan keuntungan dalam bentuk kebendaan, tetapi ianya akan memberi kepuasan dan ketenangan dalam kehidupan kita. Ianya akan menjadi paksi pada kekuatan bangsa Malaysia.
Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.

No comments: